Skip to main content

Hoki

LHM: Man-jae sasar dua trofi

img_3630.jpg
Bintang import Korea Selatan, Jung Man-jae, meletakkan sasaran untuk memenangi dua trofi bersama Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM).

Memasuki musim keduanya bersama gergasi Pantai Timur itu, Man-jae, 30, berkata dia semakin serasi dengan THT walaupun mereka kehilangan beberapa tonggak musim ini.

Malah, kehadiran jurulatih berpengalaman, Dhaarma Raj Abdullah, sebagai pengendali pasukan disambut baik pemain kelahiran Incheon itu untuk mengemudi THT.

Bermula aksi pembukaan bertemu UniKL pada Jumaat ini, Man-jae berkata mereka sudah bersedia untuk mengutip mata penuh selain menjulang Piala Sumbangsih.

"Permulaan langkah kanan sangat diperlukan memandangkan THT lebih banyak beraksi di tempat lawan pada awal saingan.

"Mungkin sukar kerana dibarisi ramai muka baharu tapi jurulatih (Dhaarma) ada ramuannya sendiri," jelasnya.

Selain Man-jae sebagai pemain import, turut kekal berkhidmat bersama THT adalah Jang Jong-hyun serta pemain Pakistan, Ammad Shakeel Butt dan Muhammad Ammar Bhutta.

Keempat-empat pemain itu dijangka diturunkan Dhaarma dalam aksi pembuka tirai LHM menentang skuad bimbingan Arul Selvaraj, UniKL.



Editor: Nafis Abdullah

Advertisement

Must Watch Video