SUKAN LAIN
Kerjasama erat asas MOM -- Tunku Imran
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja'afar, sekali lagi menggesa wakil-wakil persatuan sukan kebangsaan agar membuat pilihan yang tepat dalam pemilihan pucuk pimpinan baru badan berkenaan di sebalik timbul pelbagai isu menjelang mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu, esok.
Selepas tamat tempoh penamaan calon 24 April lalu, beberapa individu sudah pun tampil dengan manifesto mengenai perancangan masing-masing seandainya mereka terpilih.
Bahkan, ada juga yang mendapat sokongan secara terbuka daripada anggota kepimpinan sedia ada mengenai peluang mereka mendapatkan jawatan tertentu.
Iklan
Namun, Tunku Imran menjelaskan apa yang perlu menjadi keutamaan adalah masa depan serta kelangsungan MOM itu sendiri agar tidak mempunyai unsur yang mampu memecah-belahkan badan berkenaan.
"Hanya kerana kita berbeza kem dalam proses pemilihan, tetapi apabila terpilih, kita perlu mendayung dalam sampan yang sama. Kita perlu bergerak bersama-sama," kata Tunku Imran.
Kepimpinan baru MOM menyaksikan terajunya akan dipimpin Datuk Seri Norza Zakaria yang menang tanpa bertanding jawatan presiden.
Sementara itu, persaingan sengit dijangka berlaku dalam perebutan beberapa jawatan lain seperti timbalan presiden, naib presiden dan juga setiausaha agung.
Dalam pada itu, Tunku Imran berpandangan tidak akan wujud konflik buat beberapa calon untuk menggalas tugas di dalam MOM dan pada masa sama, memegang jawatan tinggi dalam persatuan sukan lain.
"Ia tidak perlu. Saya fikir, apa yang penting mereka boleh melaksanakannya, mereka pasti mempunyai masa untuk kedua-duanya.
"Jika kita ingat, Datuk Seri Norza merupakan pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) ketika dia adalah timbalan presiden. Ia tidak menghalangnya," ujar beliau lagi.
Must-Watch Video