Skip to main content

Sukan Lain

Keluarga sukan Malaysia terkesan dengan pemergian Elyas

tansrielyas.jpg
Keluarga sukan Malaysia nyata terkesan dengan pemergian seorang tokoh, Tan Sri Elyas Omar, yang menghembuskan nafas terakhirnya semalam.

Elyas, yang juga bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) susulan komplikasi jantung.

Allahyarham akan sentiasa dikenang sebagai presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang berjaya memacu kejayaan menjulang Piala Thomas pada 1992.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang hari ini yang turut dihadiri ikon bola sepak Kuala Lumpur, di mana Elyas juga pernah menjadi presiden persatuan itu.

"Dia sakit agak lama, dua tiga tahun keluar masuk hospital. Jantungnya semakin lemah dan pada Ahad lalu dia dimasukkan ke IJN akibat ada jangkitan pada paru-paru.

"Semalam, jantungnya berhenti berfungsi," kata adik kepada Elyas, Datuk Seri Hanafiah Omar.

Allahyarham, yang berasal dari Pulau Pinang, pernah menggalas tugas sebagai ketua kontinjen negara dalam Sukan Olimpik 1992, dengan menyaksikan Malaysia meraih gangsa dalam acara badminton beregu lelaki menerusi Razif dan Jalani Sidek. 

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata: "Beliau merupakan seorang yang merendah diri, sering mendengar pandangan orang-orang di bawahnya. Beliau seorang yang berwawasan dan bersungguh-sungguh mencapai sasaran. Ia dapat dibuktikan dalam Piala Thomas khususnya."

"Di bawah pentadbirannya bermula 1985, banyak perubahan yang dillakukannya. Beliau membawa masuk jurulatih luar, termasuk dari China, untuk meningkatkan lagi mutu badminton negara.

"Peningkatan yang dilakukan memang dapat dilihat sehingga kita dapat merampas Piala Thomas pada 1992," kata pemain skuad Piala Thomas 1992, Rashid Sidek.

Allahyarham pernah menggalas jawatan presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) untuk membantu pasukan Warga Kota menjuarai Piala Malaysia  tiga tahun berturut-turut dari 1987 hingga 1989.  

"Banyak persatuan sukan yang ditadbirnya mencapai kejayaan. Kalau kita tengok, Kuala Lumpur pada waktu itu berada dalam kegemilangan dengan menerapkan wawasannya kepada pasukan," kata bekas pemain Kuala Lumpur 1979-1994, Razip Ismail.

"Pemergiannya adalah satu kehilangan yang besar kerana Allahyarham adalah milik semua generasi. Beliau adalah pemimpin dahulu yang budiman, mempunyai minda terbuka, berlapang dada, yang boleh berhubung dengan pengkritik dan sentiasa ada idea menerusi persatuan yang dipimpinnya," kata penganalisis sukan negara, Rizal Hashim.

Advertisement

Must Watch Video