Skip to main content

Sukan Lain

Kejohanan Juara-Juara: Schauffele kekal rentak pendahulu

schauffele.jpg
Xander Schauffele mencatat dua bawah par 71 untuk terus memastikan pendahuluannya dalam pusingan ketiga Kejohanan Golf Juara-Juara. 

Juara bertahan dan pemain Amerika Syarikat (AS) itu melakukan empat birdie dan dua bogey untuk mengekalkan kedudukannya di puncak pendahulu pagi tadi. 

Schauffele -- sebahagian anggota skuad pemenang Piala Presiden di Melbourne, Australia bulan lalu -- mengumpul 11 di bawah par selepas 54 lubang di Kapalua, Hawaii itu. 

Setelah menyinggahi 12 daripada 15 fairway serta 16 daripada 18 green, Schauffele kini satu pukulan di depan rakan senegara, Justin Thomas, menuju ke pusingan akhir.

Dalam Kejohanan Jelajah PGA, pertandingan yang memilih pemain yang pernah memenangi gelaran dalam siri jelajah pada tahun sebelumnya itu menyaksikan juara 2017, Thomas, kekal mengekori Schauffele hasil catatan 69 dalam pusingan ketiga.

Thomas -- yang juga merupakan antara tonggak kejayaan AS dalam Piala Presiden -- melonjak tiga kedudukan susulan persembahan cemerlang dalam sembilan lubang pertama, termasuk lima birdie.

Gary Woodland (69) pula mencatat lapan di bawah par, satu pukulan di hadapan Kevin Kisner (68), Jon Rahm (70), Collin Morikawa (70), J.T. Poston (71), Matthew Wolff (71), Joaquin Niemann (74) dan Patrick Reed (74).

Selepas bergelut pada hari kedua, pemenang 2015, Reed, berhempas-pulas dalam keadaan berangin untuk ketinggalan dengan empat pukulan.



Editor: Shaiful Shamsudin


 

Advertisement

Must Watch Video