Strategi yang silap membawa padah kepada wakil tunggal Malaysia dalam acara luncur beroda Sukan Asia 2018, Mohamad Hazim Shahrum, apabila tersingkir selepas ‘kehabisan tenaga’ untuk memberikan saingan dalam acara lebuh raya 20 kilometer kasut roda hari ini.
Atlet berusia 18 tahun itu terkeluar daripada saingan pada pusingan ke-29 selepas tumpas kepada pesaingnya dengan satu pusingan di Litar Kasut Roda Bandar Sukan Jakabaring (JSC).
Bercakap kepada pemberita selepas perlumbaan, Mohamad Hazim berkata strateginya adalah membuat ‘serangan’ awal dan melakukan pemisahan daripada kumpulan peserta bagi mendapatkan banyak kelebihan bagi meraih kedudukan podium.
“Saya berusaha membuat pemisahan, memintas mereka dan mengekalkan kedudukan, tetapi saya membuat kesilapan apabila dua atlet India (Amitesh Mishra dan Harshveer Singh Shekon) membuat pecutan buat kali kedua.
"Saya fikir mereka (atlet lain) tidak akan mengejar saya tetapi mereka semua beraksi dengan baik dan ia membawa padah kepada saya.
“Kesemua mereka mahu menang kerana inline skating hanya ada satu perlumbaan dalam Sukan Asia. Sejujurnya, saya tidak menyesal tersingkir daripada perlumbaan selepas memberikan segala-galanya.
“Jika saya beraksi dengan hanya menunggu seperti yang lain, mungkin saya menamatkan perlumbaan di tempat keenam dan ketujuh tetapi saya bersedia mencubanya walaupun hanya satu peratus untuk memenangi pingat buat negara,” katanya yang membuat penampilan sulung dalam temasya sukan berkenaan.
Peserta Taiwan, Tsu-Cheng Chao, memenangi pingat emas selepas menjuarai perlumbaan 52 pusingan itu dengan catatan masa 33 minit 51.418 saat manakala dua atlet Korea Selatan, Choi Gwang-ho (33:51.653s) dan Son Geun-seong (33:51.967s), masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Luncur Roda Malaysia, Idroose Tambarin, berkata kekurangan kemudahan adalah penghalang utama kepada Malaysia bagi membangunkan bakat dalam sukan tersebut.
“Ini satu permulaan baik kepada kita kerana pembangunan sukan ini memang memerlukan pendedahan antarabangsa. Kalau kita berlatih dan bertanding sesama kita sahaja, orang fikir jaguh kampung dan tidak dapat menilai potensi sebenar.
“Di Malaysia, ramai yang main luncur roda sebagai rekreasi tetapi hanya sekitar 200 orang terlibat dalam acara kompetitif. Fasiliti memainkan peranan penting kerana di mana kita nak berlatih jika tiada tempat khas untuk latihan,” katanya.
Idroose berkata atlet luncur beroda di Malaysia terpaksa berlatih di taman-taman awam pada kebanyakan masa dan mereka berdepan risiko, terutama jika kawasan berkenaan sesak.
-- BERNAMA