HOKI
Jong-hyun mahu pertahan status penjaring terbanyak
Pakar pukulan sudut penalti Terengganu Hockey Team (THT), Jang Jong-hyun, mengidamkan untuk meledak sebanyak mungkin gol musim ini dalam usahanya mempertahankan status penjaring terbanyak Liga Hoki Malaysia (LHM).
Jong-hyun mempunyai reputasi tersendiri selaku peledak prolifik dalam kancah LHM.
Pemain Korea Selatan itu melakar nama sebagai penjaring terbanyak liga untuk edisi 2016 dan 2017 tatkala pertahanan itu mencatat 22 gol bagi keseluruhan musim lalu, kesemuanya hasil daripada pukulan sudut penalti untuk bergelar penjaring terbanyak liga.
Iklan
Justeru, dia kini meraih keyakinan untuk sekali lagi mencabar gelaran sama susulan kejayaan mencipta hatrik pertamanya musim ini ketika berdepan TNB Thunderbolts semalam.
"Saya amat gembira dapat jaringkan tiga gol semalam. Saya tahu liga masih panjang tetapi mahu cuba jaringkan sebanyak mungkin gol dan membantu THT menang serta mempertahankan gelaran yang diraih tahun lalu," katanya.
THT bakal melayan kunjungan Kedah Nur Insafi di Stadium Hoki Batu Burok, Terengganu, Rabu ini.
"Kami kena terus mencari kemenangan dan mendapatkan rentak baik. Apabila sudah sampai ke Batu Burok, kami akan lebih yakin," ujar pengendali THT, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.
Editor: Nafis Abdullah
Must-Watch Video