Skuad hoki negara kendalian Stephen Van Huizen mendapat suntikan semangat menjelang pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Trinidad & Tobago, Mac depan, apabila kembali menduduki ranking ke-13 dunia, mengatasi bekas gergasi Asia, Pakistan.
Kejayaan menaiki satu ranking dunia cukup bermakna buat Stephen yang seakan-akan tidak percaya Malaysia mampu memintas Pakistan yang juga juara dunia empat kali.
Status itu turut meletakkan Malaysia kini negara ketiga terbaik di rantau Asia, sekaligus menjadi pembakar semangat terbaik menjelang Kelayakan Piala Dunia di Trinidad & Tobago, Mac depan.
"Ia satu perkara bagus apabila ada banyak negara Asia membarisi kelompok atasan ranking dunia. Itu membuktikan kami sedang beraksi dengan baik ketika ini.
"Apa yang penting, ia akan memberi motivasi, terutamanya ketika beraksi dalam pusingan kedua Liga Hoki Dunia," jelas Stephen.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, menyasarkan kelompok 10 terbaik dunia menjelang tamat penggal pada 2019.
Sementara itu, Stephen yang merancang mengumpulkan skuad negara penghujung bulan depan, gembira melihat peningkatan penyerang Terengganu Hockey Team (THT), Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil.
"Dia telah diberikan peluang untuk berlatih bersama kami, jadi segala-galanya bergantung kepada prestasinya dalam liga.
"Ketika ini, aksinya cukup baik, dia juga ada menjaringkan gol.
"Sekiranya dia mampu mengekalkan prestasi dan tidak terlibat dengan sebarang kontroversi, sudah tentu peluang untuk kembali beraksi bersama skuad kebangsaan sentiasa ada," tambahnya.