SUKAN LAIN
Farkhan dalam misi kumpul empat kejuaraan
Peninju profesional negara, Mohd Farkhan Haron, bersetuju untuk menghadapi pertarungan pertama tahun ini di Singapura, Mac depan dalam usaha memburu tali pinggang Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) bagi melengkapkan koleksi empat kejuaraan utama.
Farkhan, bagaimanapun, masih menunggu identiti lawannya di Marina Bay Sands itu.
Dia menerima tawaran itu untuk melayakkannya bertarung merebut tali pinggang kategori cruiserweight WBO selepas memiliki gelaran Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA), Persatuan Tinju Dunia (WBA) dan Majlis Tinju Dunia (WBC).
Iklan
"Saya perlu mengharungi lebih banyak pertarungan tahun ini sebab saya perlukan pendedahan sebagai peninju profesional.
"Saya perlu bekerja keras dan sebab itulah saya menyahut (cabaran) ini untuk tujuan pendedahan," katanya.
Farkhan masih segar dengan kejayaan menumbangkan peninju Tanzania, Pascal Ndomba, menerusi jatuhan teknikal (TKO) dalam pusingan ketujuh ketika bertarung di Johor Bahru, dua minggu lalu.
Bagi mencapai misi memburu tali pinggang kejuaraan keempat itu, Farkhan memerlukan bantuan penaja.
"Tidak ramai peninju kategori berat di rantau Asia Tenggara ini dan untuk mengadakan latihan pertarungan contohnya, dia perlu ke Australia," kata jurucakap FH Promotions, Muhammad Ali Abd Karim.
"Itu antara dana yang akan digunakannya bagi tujuan latihan di luar negara."
Editor: Shaiful Shamsudin
Must-Watch Video