Kekalahan 3-0 kepada Ireland dalam final Liga Hoki Dunia Wanita boleh diibaratkan sebagai penamat antiklimaks, namun jurulatih Malaysia, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, tetap bangga dengan pencapaian anak buahnya sepanjang kejohanan itu.
Tiga gol daripada Anna O'Flanagan, Kathryn Mullan dan Zoe Wilson meranapkan impian Malaysia untuk mencipta satu lagi kejutan dalam pusingan kedua Liga Hoki Dunia Wanita kali ini.
Namun, secara keseluruhan, Dhaarma gembira pencapaian anak buahnya telah membuka mata banyak pihak, yang sebelum ini memandang sepi perjalanan skuad hoki wanita.
Muncul sebagai naib juara, The Malaysian Tigress memahat sejarah layak secara automatik ke separuh akhir Liga Hoki Dunia Wanita yang akan berlangsung Jun depan.
"Saya tidak mahu memberi tekanan kepada mereka, saya hanya mahu mereka bertenang dan menikmati perlawanan akhir ini.
"Kerana itulah, saya tidak berasa apa-apa terhadap kekalahan ini.
"Saya hanya mahu mereka mengutip pengalaman berharga daripada perlawanan ini kerana seperti semua sedia maklum, skuad hoki wanita negara tidak pernah beraksi dalam mana-mana perlawanan akhir kecuali Sukan SEA," jelasnya.
Ini adalah pencapaian terbaik Malaysia selepas dua kali menduduki tempat ketiga pada edisi 2013 dan 2015.
"Bagi saya, semua pemain telah memberikan yang terbaik untuk perlawanan ini.
"Saya sendiri agak keletihan tetapi itu bukan satu alasan, sebaliknya kami memberikan yang terbaik dalam perlawanan akhir ini," ujar kapten skuad hoki wanita negara, Siti Nur Amarina.
Sementara itu, kapten Ireland, Kathryn Mullan, mengakui kagum dengan prestasi skuad negara.
"Saya kagum dengan mereka. Saya tahu jika kami berdepan mereka sekali lagi dalam Pusingan Ketiga, kami perlu melakukan persiapan lebih rapi.
"Yang pasti, ranking mereka tidak mencerminkan kehebatan sebenar skuad Malaysia," katanya.