Skip to main content

Hoki

Dhaarma sahut cabaran bersama THT

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

dharma.jpg
Pengendali Pasukan Hoki Terengganu (THT), Dhaarma Raj Abdullah, sedia menyahut cabaran membimbing pasukan itu dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) musim ini.

Walaupun menyifatkan THT masih pasukan berstatus besar, Dhaarma berkata pendekatan pihak pengurusan kini lebih berbeza berbanding lima tahun kebelakangan ini.

Menurut bekas jurulatih skuad wanita negara itu, THT yang pada awal penubuhannya lebih dikenali dengan membeli pemain bintang, mula memberi fokus kepada tenaga muda negeri itu. 

Situasi itu menyebabkan Dhaarma menerima tawaran daripada THT menggantikan I. Vickneswaran sebaik selesai tugasan dalam Sukan SEA Filipina lalu.

"Sebelum ini, sewaktu saya melatih pasukan lawan menentang THT, mereka terlalu kuat dan sukar dikalahkan tapi tiba giliran saya bersama THT, pasukan ini tidak sekuat itu.

"Namun, THT tetap pasukan yang istimewa dan saya bersama barisan pemain bersedia menyahut cabaran memenangi trofi," katanya selepas Majlis Memperkenalkan Pasukan THT di Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut bersama Dhaarma adalah bekas bintang Korea Selatan, Seo Jong-ho, yang akan bertindak selaku pembantu jurulatih walaupun disebut-sebut calon utama THT sebelum ini.

Jong-ho ketika ditemui berkata tidak timbul isu negatif dalam perebutan jawatan ketua jurulatih, sebaliknya dia gembira dapat menimba ilmu bersama Dhaarma dan THT.

"Ini adalah pengalaman pertama saya dalam bidang kejurulatihan dan peluang terbaik meningkatkan skil latihan.

"Kami berdua profesional, saling menghormati dan fokus utama sekarang adalah memberikan yang terbaik dalam LHM," kata Jong-ho yang juga pemain import THT musim 2014.



Editor: Nafis Abdullah

Advertisement

Must Watch Video