'Kisah dongeng' Nor Farah Ain Abdullah menemui penutup yang indah selepas dia berjaya menempatkan dirinya di puncak dunia dengan menggondol pingat emas perseorangan wanita di Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia, Guernsey.



Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh sempat menzahirkan ucapan tahniah kepada Farah Ain dalam satu hantaran di laman Facebook peribadinya pagi tadi.

Farah menumbangkan naib juara Kejohanan Dunia Gold Coast tahun lalu, Connie Rixon dari Malta dengan keputusan 6-2 dan 6-3.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada jurulatih (Zuraidi Puteh) yang sentiasa berada di belakang, sokong saya dan juga Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) dengan memberi kepercayaan kepada saya untuk membawa pulang emas", kata Farah.

"Saya bukan lagi jaguh kampung, saya telah buktikan, demi Malaysia", tambahnya lagi.

Namun rakan seperjuangan, Izzat Shameer Dzulkeple terpaksa menelan pahit tewas pada pentas final kepada wakil tuan rumah, Jason Greenslade.

Meskipun kecundang, Izzat pilih untuk mentafsirkan kekecewaannya itu dari sudut positif, iaitu selepas tiga percubaan secara peribadi dia akhirnya berjaya membutirkan pingat perak di kejohanan tersebut.

"Syukur kami dapat bawa pulang tiga pingat dalam kesemua kategori, dan selepas tiga percubaan akhirnya saya dapat membawa pulang pingat, dan tahniah kepada Farah atas pingat emas dalam acaranya", jelas Izzat Shameer.

Malaysia turut tidak terlepas peluang meraih pingat dalam satu lagi acara yang dipertandingkan iaitu kategori berpasangan campuran.

Izzat dan Farah bergandingan untuk merangkul pingat gangsa selepas tewas di peringkat separuh akhir kepada atlet dari Australia, Ray Pearse dan Samantha Atkinson yang kemudiannya muncul sebagai juara bagi kategori tersebut.

Dengan pencapaian tersebut, Malaysia muncul sebagai negara terbaik di kejohanan itu dan merupakan satu-satunya negara yang membawa pulang tiga kilauan pingat.