SUKAN LAIN
Azroy terkilan dengan tindakan PABM
Badang negara, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad, memohon Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengecualikan atlet Program Podium daripada penggantungan setahun kerana mereka dalam misi mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Tindakan PABM itu terlalu berat untuk ditelan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 berkenaan.
Azroy sudah membuat persiapan rapi bagi menghadapi Sukan Asia Indonesia, Ogos depan sebelum Kejohanan Dunia di Turkmenistan pada November.
Iklan
Jika semua atlet angkat berat tidak dibenarkan menyertai kejohanan antarabangsa sehingga 30 Mei 2019, maka Azroy dan seorang lagi juara Sukan Komanwel 2018, Muhamad Aznil Bidin, hampir pasti terlepas tiket ke Olimpik Tokyo.
"Ia terjejas untuk saya kerana tidak dapat sertai Kejohanan Dunia bagi mengumpul mata untuk Sukan Olimpik.
"Saya dan Aznil ada sasaran, iaitu tidak mahu mengambil 'wildcard' tetapi mengambil mata individu. Kalau ambil 'wildcard', salah seorang sahaja dipilih.
"Kalau boleh, saya mahu mengumpul sebanyak mata yang boleh untuk ke Sukan Olimpik. Saya ada berbincang dengan jurulatih untuk membuat persiapan ke Sukan Asia pada Ogos ini.
"Sebelum itu, kalau tiada apa-apa halangan, saya akan ke Vietnam pada hari raya ketiga untuk buat persiapan.
"Apabila dengar berita ini (digantung) semalam, saya rasa sedih dan terkilan," kata Azroy.
PABM mengambil tindakan drastik dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutifnya semalam apabila menggantung semua penyertaan kejohanan antarabangsa selama setahun bagi membersihkan skandal doping.
Setakat tahun ini, sebanyak empat kes doping dikesan, termasuk membabitkan pemenang gangsa Komanwel, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad, dan seorang atlet yang baru berusia 16 tahun.
Must-Watch Video