SUKAN LAIN
Azroy nafi pusat latihan di Rompin lubuk bahan terlarang
Badang negara, Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad, menafikan pusat latihan angkat berat di Rompin, Pahang menjadi lubuk penyebaran bahan terlarang.
Azroy berkata pengambilan sebarang bahan terlarang tiada kaitan dengan pusat latihan itu mahupun jurulatih, sebaliknya ia hanya bergantung kepada atlet itu sendiri.
"Selama saya berlatih di Rompin enam tahun memang tiada. Bagi saya, pengambilan bahan terlarang ini hanya melibatkan atlet tertentu dan tidak boleh salahkan jurulatih," katanya.
Iklan
"Kalau kita maklumkan perkara itu kepada jurulatih, sudah tentu jurulatih tidak akan benarkan. Ia bergantung kepada atlet itu sendiri. Kalau tidak percaya, WADA (Agensi Anti-Doping Dunia) boleh uji (atlet) di Rompin. Bukan untuk pertahankan jurulatih tetapi saya tahu, saya anak kelahiran Rompin," katanya.
Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) semalam mengesahkan pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Gold Coast, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad, sebagai atlet yang gagal dalam ujian doping.
"Apabila dapat tahu (atlet negara) terlibat dengan doping dalam Sukan Komanwel, saya begitu terkejut. Saya (pada awalnya) berharap itu bukan diri saya dan selepas diumumkan, ia pemenang pingat gangsa, saya dan (Muhamad) Aznil (Bidin) rasa lega.
"Saya tahu pemenang gangsa itu tetapi saya tidak perlu sebut sebab semalam nama dan mukanya sudah keluar. Saya hanya doakan yang terbaik untuknya.
"Keputusan mengenai doping saya bersih sebab saya tidak pernah ambil bahan terlarang. Saya hanya mendoakan yang terbaik untuk diri dan keluarga saya," kata atlet berusia 24 tahun itu yang memenangi pingat emas kategori 56kg di Gold Coast.
Pemangku Setiausaha PABM, Abu Hanapah Ismail, mendedahkan keputusan sampel B yang diuji atas permintaan Fazrul turut didapati positif dadah jenis stanozolol.
Fazrul, 22, mengambil bahagian di Gold Coast dalam kategori bawah 85 kilogram.
Must-Watch Video