Skip to main content

Sukan Lain

Atlet Paralimpik bakal jalani latihan di Jerman

190117-jeganathan.jpg
Ketua jurulatih olahraga Paralimpik negara, R. Jeganathan, merancang untuk mengadakan latihan di luar negara membabitkan atlet utamanya dengan menjadikan Leipzig, Jerman, sebagai persinggahan pada Mei nanti. 

Selain perbezaan cara latihan, Jeganathan membayangkan saingan kompetitif membabitkan atlet utamanya seperti Ridzuan Puzi, Latif Romly dan Ziyad Zulkifli amat diperlukan. 

Memandangkan mereka sudah berada di tahap berbeza dengan atlet yang lain, suasana latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) semata-mata tidak banyak membantu atlet untuk lebih bermotivasi. 

Justeru, Jerman sekali lagi menjadi pilihan Jeganathan yang dijangka berlepas ke sana selepas aksi Terbuka Malaysia, April ini. 

"Mereka akan didedahkan dengan latihan bersama-sama atlet normal di Leipzig. 

"Contohnya untuk Ziyad yang melakukan lontaran sejauh 16 meter, atlet di sana mampu melakukan lontaran 18 hingga 20 meter dalam latihan. 

"Situasi ini secara tidak langsung akan meningkatkan motivasi atlet itu sendiri untuk beraksi dengan lebih baik lagi.

"Kalau tidak, dia akan berlatih berseorangan tanpa motivasi," ujarnya.

Tambah Jeganathan, beberapa kejohanan tempatan di sana telah dikenal pasti, selain khidmat jurulatih luar juga diperlukan sepanjang kem latihan di Leipzig nanti. 

"Sempena persiapan ke sana, apa yang penting adalah penginapan dan jurulatih di sana. 

"Kami masih memerlukan bantuan jurulatih di Jerman."

Advertisement

Must Watch Video