Skip to main content

Hoki

Arul berang pendekatan Hockademy

arul.jpg
Ketua jurulatih Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj, menempelak pegawai pasukan Hockademy KL yang didakwa tiada semangat kesukanan susulan tonggak tengah, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, patah rahang sehingga terpaksa melupakan baki saingan liga musim ini.

Tengku Ahmad Tajuddin mengalami kecederaan serius di bahagian pipi kiri sehingga patah rahang susulan terkena bola pukulan pemain import Hockademy KL, Rizwan Ali dari Pakistan.

Ia menyaksikan pemain tengah itu meninggalkan stadium sambil diiringi pasukan paramedik dan memaksa Arul untuk membuat perubahan taktikal.

Meskipun UniKL melakar kemenangan 3-1, pengendali itu tetap tidak berpuas hati kerana mendakwa ada pegawai daripada kem lawan yang menjerit memberi arahan agar mencederakan anak buahnya.

"Saya pun tak tahu nak cakap macam mana. Ada wakil pasukan yang menjerit dari luar, 'jangan main bola, pukul kepala'. Saya tidak faham mentaliti yang dimiliki. Ia menyedihkan.

"Saya kecewa apabila komen daripada salah seorang wakil lawan, mungkin pemilik kelab, agar pukul kepala. Inikah cara untuk memberi galakan kepada pemain? Saya sangat kecewa," katanya.

Tengku Ahmad Tajuddin dijangka akan menjalani pembedahan Khamis ini, sekali gus UniKL berkemungkinan terpaksa melupakan khidmat pemain berusia 34 tahun itu untuk baki saingan liga.

Bagaimanapun, dia tidak risau memandangkan masih mempunyai pemain lain yang mampu mengisi kekosongan itu sambil mengharapkan Tengku Ahmad Tajuddin lekas pulih.

"Bukan sahaja untuk UniKL tetapi skuad kebangsaan. Dia aset Malaysia. Kami menunggu keputusan hasil daripada rujukan hospital," tambah Arul.



Editor: Nafis Abdullah

Advertisement

Must Watch Video