Skip to main content

Permotoran

ARRC: Kasma, Ramdan semakin selesa dengan tunggangan

kasma-daniel-kasmayuddin.jpg
Pelumba Hong Leong Yamaha, Kasma Daniel Kasmayuddin, yakin mampu menghambat kelompok atasan pelumba Supersport 600cc dalam Kejohanan Motosikal Asia (ARRC) menjelang perlumbaan pusingan ketiga di Litar Suzuka, Jepun, 1 Jun ini.

Selepas mengharungi dua pusingan di Buriram, Thailand, dan Adelaide, Australia, Kasma kini menghuni tangga ke-17 dengan mengutip sembilan mata.

Namun, tempoh rehat yang panjang sebelum berlangsungnya pusingan seterusnya di Litar Suzuka digunakan sebaik-baiknya oleh Kasma untuk berlatih dengan menjadikan Kejohanan Superbike Malaysia (MSBK) sebagai medan menguji kemampuannya. 

Kejayaan menjuarai kategori supersport dalam saingan tempatan melonjakkan motivasinya untuk membuat perhitungan dengan pelumba terbaik Asia, bulan depan.

"Semasa di Australia, saya sudah dapat keserasian dan di Litar Suzuka nanti, saya akan cuba memberi saingan sepanjang perlumbaan. 

"Saya akan buat yang terbaik untuk pasukan, Malaysia dan peminat semua," kata Kasma. 

Rakan sepasukan Kasma, Mohd Ramdan Rosli, turut dilihat antara prospek untuk pasukan Hong Leong musim ini apabila menghuni tangga kelapan dengan mengutip 23 mata.

Dia juga teruja untuk kembali ke Litar Suzuka selepas kali terakhir membuat penampilan di sana pada 2015.

"Persaingan ARRC sengit pada tahun ini, permulaan kami agak lembab di mana dalam perlumbaan kedua barulah kami dapat mencabar kedudukan di hadapan. 

"Saya harap dengan persiapan perlumbaan di Litar Suzuka ini, kami dapat melakukan sesuatu untuk pencapaian lebih baik," kata Ramdan. 
 

Advertisement

Must Watch Video