Skip to main content

Sukan Lain

ADAMAS: Sazali berdepan hukuman tambahan

datuk-dr-ramlan-abd-aziz.jpg
Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) mendakwa bekas jaguh bina badan negara, Sazali Samad, melanggar kod Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) apabila menyertai kejohanan ketika masih menjalani penggantungan dan boleh dikenakan hukuman tambahan.

Menurut ADAMAS, Sazali sepatutnya merujuk kepada mereka atau Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) sebelum menyertai sebarang kejohanan antarabangsa.

Ini kerana bekas juara dunia 10 kali itu masih menjalani penggantungan empat tahun gara-gara positif steroid pada 2015.

Semalam, atlet kelahiran Batu Pahat, Johor itu menegaskan bahawa dia tidak mewakili persatuan sukan kebangsaan kerana mendapat jemputan peribadi penganjur apabila menjuarai kategori 75kg serta pingat perak kategori keseluruhan dalam sebuah kejohanan di China baru-baru ini. 

Bagaimanapun, ADAMAS mendakwa tindakan Sazali itu menyalahi peraturan.

"Pihak persatuan kebangsaan yang menjatuhkan hukuman itu tentu sekali berhak untuk bertanya dan meminta surat tunjuk sebab. 

"Atlet berkenaan boleh dikenakan tindakan sewajarnya kerana melanggar keputusan mereka. 

"Ini mungkin menghasilkan suatu tindakan tambahan dalam bentuk hukuman," ujar Pengarah ADAMAS, Datuk Dr Ramlan Abd Aziz.

Hukuman Sazali ketika ini akan tamat pada 22 September 2019.

MBBF, yang sebelum ini menolak rayuan hukuman penggantungan Sazali, bagaimanapun, belum mengeluarkan kenyataan.

"Ini tindakan yang dibuat MBBF dan perlu kami diteliti apakah kaedah tindakan yang ambil. 

"Jadi, kita tunggu sahajalah apabila pihak persatuan bersedia untuk menjelaskan isu ini," katanya lagi. 
 

Advertisement

Must Watch Video