Nama yang sedang meniti di bibir peminat badminton tanah air, Lee Zii Jia, enggan menjadi sebahagian daripada pemain yang sekadar berada dalam senarai sebagai pengganti Datuk Lee Chong Wei.
Antara detik sepanjang saingan Piala Thomas di Bangkok, Thailand adalah pertemuan Zii Jia menentang Haans Kristian Vittinghus.
Aksi cemerlang dipamerkannya apabila bangkit untuk meraih kemenangan dalam set kedua selepas ketinggalan 16-6.
"Saya rasa sedikit bangga kerana sudah ramai orang tahu nama saya. Saya perlu berlatih dengan gigih lagi dan memberikan yang terbaik untuk Malaysia," katanya.
Seperti mana-mana pengembaraan, Zii Jia juga dipaksa menelan pahit yang pastinya bersifat luar biasa.
"Saya tidak pernah ketinggalan seperti itu dan tidak menyangka boleh menang, lebih-lebih lagi berdepan pemain terbaik.
"Ia menambah keyakinan untuk masa depan saya. Saya harap keyakinan itu tidak akan hilang dan sedia untuk kejohanan seterusnya," ujarnya.
Dalam kehidupan, Zii Jia juga mengetahui tiada jaminan tetapi dia memiliki impian untuk menjadi sandaran Malaysia serta mahu menamatkan kemarau kejuaraan Piala Thomas negara.
"Saat paling sedih adalah ketika tewas. Selepas kalah kepada Denmark (peringkat kumpulan), kami percaya boleh cuba lagi tetapi setelah tewas sekali lagi kepada Indonesia (dalam suku akhir), satu pasukan diam.
"Saya melihat Chong Wei sedih dan kami meminta maaf kepadanya kerana hanya dia yang kekal menyumbang satu mata. Ini adalah acara berpasukan, jadi kami tidak boleh menyalahkan sesiapa. Kami sudah mencuba yang terbaik.
"Saya harap saya lebih matang dalam dua tahun ini, mungkin lebih stabil lagi dan boleh diharapkan seperti Chong Wei. Selalunya apabila dia turun, kami tidak berapa risau dan saya mahu ada karakter sepertinya," katanya.
Penulis Jemputan
Sat May 26 2018