Skip to main content

Badminton

Tokyo 2020: Kekuatan mental pemangkin kejayaan Aaron-Wooi Yik

aaron-chia-soh-wooi-yik2_1.jpg
Kekuatan mental berjaya dibuktikan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, tatkala juara dunia 2019, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan, sentiasa mendahului pertarungan mereka dalam penentuan pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sering kali faktor motivasi menghantui mereka tetapi sebentar tadi, mereka mengatasi segala kelebihan pihak lawan sedangkan bagi yang menonton aksi di Plaza Sukan Musashino Forest, seolah-olah membayangkan harapan untuk melihat kilauan medal -- tiga termasuk emas yang disasarkan ke atas kontinjen negara -- semakin pudar berikutan lawan menundukkan mereka 17-21 dalam set pertama. 

Bahkan, mereka ketinggalan 7-11 dalam set seterusnya sebelum mengorak langkah kemenangan 21-17 dan 21-14. 

"Sangat gembira sebab tadi kami sangat tertekan. 

"Mereka asyik mendahului sampai set kedua tapi kami tidak pernah berputus asa," kata Wooi Yik yang tidak dapat menahan air mata kejayaannya. 

Aaron juga turut mengesatkan air mata dengan tualanya ketika ditemu bual wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani, sejurus perlawanan itu. 

"Bila lawan mendahului empat mata, masa itu kami masih (dapat) tahan tekanan. 

"(Ketika itu) fikiran (saya mula tertumpu) kepada keluarga, ia membuatkan saya tidak berputus asa dan lebih tabah di atas gelanggang.

"Ada (rasa) puas tapi tidaklah berpuas hati sepenuhnya kerana masih ada banyak kesilapan yang dilakukan.

"Tapi kami memang gembira sebab dapat tingkatkan dan atasi tekanan," katanya. 





Menurut Wooi Yik lagi, tiada apa yang lebih seronok apabila berjaya mengatasi kegugupan terdahulu. 

"Kejayaan ini adalah yang terbaik dalam karier saya sebab saya dapat atasi kesilapan sebelum ini, iaitu keyakinan. 

"Ini belum habis lagi, saya akan terus berjuang," katanya. 


 

Advertisement

Must Watch Video