Skip to main content

Badminton

Piala Thomas: Sudah tiba masa Malaysia cipta sejarah baru

norza2.jpg
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui sudah tiba masa untuk Malaysia menempa sejarah baru apabila membicarakan soal Piala Thomas di Bangkok, bermula Ahad hingga 27 Mei ini.

"Skuad negara akan ke Bangkok untuk cuba menamatkan kemarau kejuaraan sejak 1992," demikian amanat yang disampaikan Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, kepada barisan pemain yang diketuai Datuk Lee Chong Wei.

Selepas edisi 1992, Malaysia hampir mengulangi pencapaian sama sebelum kecundang dalam empat pentas final berikutnya, kali terakhir di New Delhi, India pada 2014.

"Kita tidak mahu (kejuaraan) Piala Thomas ini hanya berada dalam lipatan sejarah. Saya rasa untuk pemain, mereka harus mencipta sejarah baru. 

"Saya tahu cabaran itu bukan senang, namun seperti yang saya katakan kepada pemain, tujuh hari ini adalah tujuh hari yang penting dalam hidup mereka, sama ada mereka mahu melihat ia sebagai kejohanan biasa atau piala dunia bagi badminton," kata Norza lagi.

Bagi pengurus pasukan, Datuk Ng Chin Chai, aspirasi ini akan menjadi pendukung skuad negara, sambil menegaskan apa-apa keputusan selain sasaran minimum ke separuh akhir adalah satu kegagalan.

"Apa yang rakyat Malaysia mahukan (pencapaian) tidak boleh rendah daripada separuh akhir. Jadi, kami meletakkan (sasaran) ke separuh akhir kerana ia boleh dicapai.

"Tetapi, apa-apa keputusan lebih daripada itu adalah bonus. Kalau kurang, kami anggap gagal," kata Chin Chai.

Chong Wei dalam pada itu berasakan Malaysia melangkah ke Bangkok bukan sebagai pilihan sekalipun mungkin ada yang memandang enteng kepada kemampuan skuad negara.

"Presiden ada berkata apa-apa sahaja boleh berlaku di sana. Kami akan membuat persediaan rapi untuk berlawan. Kami akan akan bangkitkan semangat sepasukan," kata Chong Wei.

Advertisement

Must Watch Video