Skip to main content

Badminton

Misbun bakal kendali skuad pelapis negara -- Norza

norza.jpg
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal menggunakan kepakaran Datuk Misbun Sidek dengan mengubah peranannya bagi melahirkan lebih ramai bakat baru yang mampu menggalas tanggungjawab negara.

Selepas tujuh pemain digugurkan daripada skuad kebangsaan, Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, menyangkal dakwaan bahawa badan induk itu juga bakal membuat rombakan terhadap barisan kejurulatihan.

Bagaimanapun, Norza menjelaskan BAM bercadang menggunakan khidmat Misbun yang pernah menggalas tanggungjawab ke atas pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, untuk mengendalikan barisan pelapis muda.

Selain itu, terdapat ura-ura bahawa Misbun juga tersenarai untuk mengisi kekosongan jawatan pengarah teknikal skuad remaja negara.

"Misbun adalah contoh terbaik jurulatih yang memiliki kepakaran untuk melahirkan barisan pemain yang berkualiti dan beliau seorang yang komited dalam menaikkan pemain negara," kata Norza.

Tambahnya lagi, cadangan itu dilihat selepas pelapis daripada Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) menjalani latihan bersama pemain senior di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Ketika ini, hanya tiga pemain berada di bawah kendalian Misbun, iaitu, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Aidil Sholeh Ali Sadikin.

"Pemain-pemain pelapis kini berpusat di ABM dan perlu menjalani latihan intensif, sama seperti pemain-pemain senior," kata Norza.

Sementara itu, bekas jaguh badminton negara, Chong Wei, yang sudah menganggap Misbun sebagai bapanya, akan sentiasa memberi sokongan kepada apa jua peranan yang bakal dipertangunggjawabkan kepada Misbun dalam melahirkan pemain berbakat masa depan.

Chong Wei menyifatkan barisan pemain muda bertuah mempunyai pengendali seperti Misbun selain percaya keputusan BAM mampu menghasilkan pelapis yang berkaliber.

"Misbun macam ayah saya, saya tidak kisah dia berada di mana. Saya pasti akan sentiasa menyokongnya. Beliau adalah jurulatih dan pemain legenda, saya yakin Misbun akan lahirkan ramai pemain yang baik untuk negara. 

"Sebelum ini pun, beliau sudah lahirkan beberapa pemain yang bagus, jadi jika beliau melatih skuad remaja, tidak mustahil beliau akan bawa lebih ramai pemain berpotensi. 

"Bertuah siapa yang dapat tunjuk ajar daripada Misbun. Beliau boleh jadi contoh yang baik kepada pemain remaja juga," kata Chong Wei.



Editor: Ammar Hakim

Advertisement

Must Watch Video