Skip to main content

Badminton

Masters Malaysia: Zii Jia cari jalan rapatkan jurang dengan Momota

lee-zii-jia.jpg
Perseorangan utama lelaki negara, Lee Zii Jia, akur belum waktu untuknya meletakkan nama sebaris dengan pemain nombor satu dunia, Kento Momota.

Sepertimana Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan yang diangkat sebagai seteru ulung, sentimen itu diabadikan Zii Jia susulan kegagalannya untuk mencabar pemain dari Jepun tersebut dalam separuh akhir Kejohanan Masters Malaysia.

Set pertama pertarungan di Arena Axiata, Bukit Jalil, malam tadi itu menyaksikan Momota mengajar Zii Jia tentang apa itu badminton bertaraf elit menerusi kemenangan 21-10.

Hanya dalam set kedua, ada tentangan yang ditawarkan pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina bulan lalu berkenaan tetapi sudah terlalu lewat untuknya menafikan kemenangan keenam Momota dalam siri pertemuan di antara mereka itu apabila tumpas 19-21.

"Apabila melibatkan pertukaran jurulatih, setiap mereka mempunyai sentuhan berbeza. 

"Corak latihannya juga berbeza. Setakat ini saya sudah biasa di bawah bimbingan Hendrawan. 

"Saya sudah mula menampakkan peningkatan, saya harap dapat terus bekerjasama dengannya. 

"Apatah lagi jurulatih, Datuk Misbun Sidek dan Indra Wijaya, turut membantu. Saya bangga kerana ketiga-tiga jurulatih ini sentiasa berdiri teguh di belakang saya," katanya. 

Buat masa ini, pemain kelahiran Kedah tersebut masih buntu dalam mengenal pasti apakah elemen yang boleh dieksploitasinya ke atas jaguh dunia masa kini itu, berbeza dengan beberapa pemain terbaik dunia seperti Chen Long dan Viktor Axelsen yang pernah menjadi mangsanya.

"Saya berasakan perlu perbaiki permainan bukan sahaja dalam beberapa aspek, malah banyak perkara perlu dilakukan untuk mengalahkannya (Momota). 

"Selepas ini saya perlu berbincang dengan jurulatih mengenai apa yang perlu dilakukan untuk tingkatkan permainan."

Keputusan final: 

Perseorangan lelaki 
Kento Momota mn Viktor Axelsen 24-22, 21-11

Beregu lelaki
Kim Gi Jung-Lee Yong Dae mn Li Jun Hui-Liu Yu Chen 21-14,21-16

Perseorangan wanita 
Chen Yu Fei mn Tai Tzu Ying 21-17, 21-10

Beregu wanita
Li Wen Mei-Zheng Yu mn Du Yue-Li Yin Hui 21-19, 16-21, 21-19



Editor: Shaiful Shamsudin 





 

Advertisement

Must Watch Video