Skip to main content

Badminton

Masters Malaysia: Soon Huat-Shevon lolos ke pusingan kedua

shevon.jpg
Perjalanan berbeza ditempuhi dua wakil negara dalam saingan beregu campuran ketika berdepan kuasa besar, China, apabila Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai lolos ke pusingan seterusnya sementara Hoo Pang Ron-Cheah Yee See pulang awal.

Soon Huat-Shevon awal-awal lagi memasang misi untuk memperbaiki pencapaian tahun lalu apabila ditunjukkan jalan keluar oleh gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying di peringkat suku akhir bagi edisi 2019.

Berdepan He Jingti- Du Yue dari China, Soon Huat-Shevon menampilkan aksi bertenaga biarpun rekod perlawanan lampau memihak lawan mereka.

Tiada masalah dihadapi beregu negara apabila melakar kemenangan straight set 21-12, 21-19 untuk menempah slot ke pusingan kedua bertemu wakil Perancis, Thom Gicquel-Deplhine Delrue, esok.

"Kami mahu meningkatkan lagi kedudukan ranking dunia dan langkah itu harus bermula dengan meneruskan aksi cemerlang dalam gelanggang terlebih dahulu," kata Shevon.

Sementara itu, gandingan muda, Pang Ron-Yee See, pula gagal mengikuti jejak rakan sepasukan yang lain apabila terkandas awal.

Berdepan naib juara dunia 2018, Wang Yilu-Huang Doping, jelas menyaksikan jurang yang terlalu luas dengan pemain negara, yang akhirnya akur dengan keputusan 13-21, 10-21.

"Kami tidak berasakan tekanan adalah faktor kekalahan dalam perlawanan ini, kami telah cuba yang terbaik ketika menghadapi tentangan wakil dari China itu," kata Yee See.

Turut terkandas, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing  yang gagal meneruskan cabaran selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Ricky Karanda Suwadi dan Pia Zebadiah, 16-21, 4-21.



Editor: Ammar Hakim

Advertisement

Must Watch Video