Skip to main content

Badminton

Masters Malaysia: Momota terus jadi igauan Zii Jia

lee-zii-jia_1.jpg
Harapan terakhir Malaysia untuk melanjutkan hayat ke final berakhir apabila perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, tewas straight set kepada Kento Momota di Arena Axiata sebentar tadi. 

Pertemuan keenam di antara kedua-dua pemain itu cukup dinantikan, apatah lagi selepas wakil negara yang mengisi ranking ke-14 dunia itu bangkit untuk menewaskan pemain kedua terbaik dunia, Shi Yuqi, dalam aksi suku akhir semalam. 

Begitupun, permulaan sedikit gementar yang ditonjolkan Zii Jia seakan-akan mengulangi pertemuan terakhir mereka dalam Terbuka China, November tahun lalu yang menyaksikannya tewas mudah dalam set pertama sebelum menarik diri dalam set berikutnya tetapi kali ini, dia akur ditundukkan 10-21 oleh jaguh nombor satu dunia itu dalam set pertama.

Kegusaran itu berjaya diredakan pemain negara berusia 21 tahun tersebut dengan permainan lebih kemas dalam set kedua untuk mengekori rapat kedudukan mata yang dipimpin Momota sehingga memaksa lawan dari Jepun berkenaan meningkatkan permainan untuk menjarakkan kedudukan 12-6.

Walaupun sempat mempamerkan kebangkitan untuk menghambat kedudukan, ia sudah terlambat buat Zii Jia dan impiannya ke pentas final terkubur selepas tewas 19-21.



Editor: Shaiful Shamsudin 
 

Advertisement

Must Watch Video