Skip to main content

Badminton

Masters Malaysia: Daren langkah kanan

daren.jpg
Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Liew Daren, bermula langkah kanan selepas berjaya meraih slot ke undian utama Kejohanan Masters Malaysia 2020 sementara Soong Joo Ven terpaksa akur laluannya berakhir dalam pusingan kelayakan kedua. 

Kecederaan Daren tidak menghalangnya meraih slot ke undian utama Masters Malaysia selepas menewaskan wakil China, Zhou Jun Peng, 21-15, 21-15 dalam pusingan kelayakan kedua.

Sebelum ini, pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia itu mengalami kecederaan di bahagian belakang badan ketika menjalani latihan dua minggu lalu.

Daren bakal memulakan aksi sulung pada musim 2020 menentang Jonatan Christie dari Indonesia dalam pusingan pertama.

"Lawan saya mendahului perlawanan terlebih dahulu sebelum saya mengejar permainan. Beraksi dalam kecederaan kurang menyenangkan, namun saya harus menghadapinya," kata Daren.

Bagaimanapun, pemain berusia 33 tahun itu menjelaskan peluang untuk merebut tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 masih samar apabila ia bergantung kepada keadaan fizikalnya yang belum pulih sepenuhnya.

"Saya tidak terlalu memikirkan mengenainya lagi. Saya akan melihat terlebih dahulu keadaan fizikal saya dan mahu menghadirkan keputusan yang positif terlebih dahulu," tambahnya.

Sementara itu, hasrat seorang lagi wakil perseorangan lelaki negara, Song Joo Ven, untuk menempah tempat ke undian utama kejohanan tersekat selepas tewas kepada pemain ranking ke-42 dunia, Koki Watanabe dari Jepun,  21-16, 16-21, 21-11.

Pemain berusia 25 tahun itu menyifatkan kepenatan antara faktor rentak permainannya menjadi tidak konsisten sementara Watanabe hanya beraksi satu set dalam pusingan pertama ekoran lawannya menarik diri dalam set kedua pada keputusan 11-6. 

"Ia adalah perlawanan yang sukar. Pujian harus diberikan kepada lawan saya dalam perlawanan ini," kata Joo Ven.

Namun, Joo Ven yang merupakan antara tujuh pemain yang digugurkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), enggan berputus asa dalam meneruskan kerjayanya sebagai pemain profesional.

Pemenang pingat perak Sukan SEA Filipina 2019 itu juga bakal mengumumkan penajaannya pada minggu depan sebelum memulakan aksi pertama sebagai pemain profesional dalam Masters Thailand.

"Pemain BAM atau profesional, perkara paling penting adalah berusaha untuk membuktikan kemampuan sebenar setiap kali turun beraksi di gelanggang."


Editor: Ammar Hakim

Advertisement

Must Watch Video