Skip to main content

Badminton

Masters Malaysia: BAM akur ranking pemain negara jadi penghalang

wong-choong-hann.jpg
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terpaksa akur tanpa wakil negara dalam perseorangan wanita Kejohanan Masters Malaysia 2020 di Arena Axiata, Bukit Jalil bermula esok demi kecergasan jangka masa panjang pemain. 

Semalam, taruhan tunggal negara, Goh Jin Wei, mengesahkan menarik diri daripada kejohanan pembuka tirai musim ini itu selepas seorang lagi pemain, Soniia Cheah, masih dibelenggu kecederaan. 

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, menjelaskan badan induk itu mahu memberi lebih masa kepada pemain berusia 19 tahun berkenaan bagi meningkatkan tahap kecergasannya susulan baru pulih daripada pembedahan usus Oktober lalu. 

Situasi itu tidak menjadi masalah kepada badan induk berkenaan bagi mengelak kecederaannya daripada berlarutan tatkala pemain-pemain lain terus gigih merebut tiket Sukan Olimpik Tokyo 2020. 

"Kami sedar ranking pemain-pemain negara yang lain tidak sampai ke tahap itu lagi, jadi mereka tidak berpeluang untuk menyertai kejohanan ini, bukannya kami tidak mahu menghantar wakil. 

"Saya sendiri mengharapkan S. Kisona dapat bermain tetapi rankingnya masih jauh. 

"Jadi, apa yang boleh kami lakukan ialah menghantar wakil dalam setiap peringkat kejohanan. 

"Kami akan memberi Jin Wei peluang dalam kejohanan yang lain," kata Choong Hann ketika ditemui dalam persiapan akhir kem kebangsaan di venue pertandingan sebentar tadi.


 

Editor: Shaiful Shamsudin 
 

Advertisement

Must Watch Video