Skip to main content

Badminton

Limpele mahu beregu Malaysia terus rendah diri buru kejayaan

flandy-limpele.jpg
Bekas jurulatih beregu negara, Flandy Limpele, mendedahkan sudah setahun dia memendam hasrat untuk meninggalkan kem negara. 

Jurulatih dari Indonesia itu akan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas membuat keputusan untuk tidak menyambung kontraknya.

Menerusi temu bual bersama wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkifly, Flandy berpuas hati dengan sentuhannya tetapi berasakan pemain negara akan terus berkembang pada masa depan. 

"Tugas awal saya untuk Sukan Olimpik dan memajukan beregu lelaki (di Malaysia) sudah sempurna. 

"Jurulatih seterusnya bisa membantu mereka kerana sudah bagus, tinggal lagi mendapatkan hasilnya. 

"Memang sudah ada persetujuan dengan Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) dan yang pastinya (akan memulakan tugas) April ini," katanya yang kini pulang ke negara kelahirannya. 

Pencapaian manis Flandy meskipun kehadirannya singkat diukur menerusi pencapaian Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo, Ogos lalu, selain menggilap beberapa beregu lagi, antaranya Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani yang kini memanjat ke tangga ke-16. 

"Kali pertama saya membawa pemain ke Sukan Olimpik, saya bangga dengan pemain saya biarpun dengan gangsa. Ia kerja keras kami bersama selain kerjasama berpasukan yang bagus. 

"Mereka perlu menjaga komunikasi dan persembahan dengan baik. Mereka sudah pun bagus dan diharap semangat juang Wooi Yik di atas gelanggang lebih semangat, lebih cekal. 

"Mereka sudah sebaris Aaron-Wooi Yik di peringkat tinggi. Saya harap mereka lebih tekal dan sikap harus bagus. 

"Mereka perlu sentiasa merendah diri. 

"Saya juga bangga dengan Sze Fei-Nur Izzudin sebab selepas lima tahun di BAM, daripada tiada gelaran sudah ada hasil (Terbuka Jerman). 

"Begitu juga dengan Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang memenangi siri 300 di India," katanya lagi. 







 

Advertisement

Must Watch Video