Skip to main content

Badminton

Iskandar tumpu persiapan hadapi Piala Thomas

iskandar-zulkarnain.jpg
Pemain perseorangan badminton lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, bukan sahaja perlu memikirkan cabaran lawan dalam saingan Piala Thomas di Bangkok, Thailand pada 20 Mei ini, tetapi perlu memberikan tumpuan kepada persediaan menghadapi saingan dalam keadaan berpuasa.

Piala Thomas kali ke-30 akan bermula 20 Mei ini ketika Ramadan sudah pun bermula.

Bagi Iskandar, dia cuba mempersiapkan dirinya dengan mendapatkan khidmat pakar pemakanan daripada Institut Sukan Negara (ISN) untuk menyediakan diet terbaik dalam mengharungi perlawanan yang cukup kompetitif di samping mematuhi tuntutan berpuasa. 

"Sebagai seorang muslim, niat untuk berpuasa itu perlu sentiasa ada. 

"Kalau ada pertandingan pada Ramadan, saya akan meminta nasihat daripada ISN mengenai pemakanan. 

"Selebihnya, terpulang kepada diri sendiri dan barisan jurulatih tentang apa yang perlu ditangani nanti," kata Iskandar. 

Dalam masa sama, dia juga terharu dengan kepercayaan diberikan jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek, yang memanggilnya membarisi skuad negara di sebalik kurang menyertai kejohanan antarabangsa berbanding rakan sepasukan yang lain.

Namun, tiada istilah selesa buat Iskandar kerana Misbun turut menyenaraikan juara Remaja Asia 2017, Leong Jun Hao dan Lee Zii Jia selain jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei.

"Kami berjuang sesama sendiri (untuk merebut tempat). Di Bangkok nanti, saya berharap tidak mengulangi kesilapan semasa di peringkat kelayakan. 

"Saya banyak belajar di peringkat itu," tambahnya. 
 

Advertisement

Must Watch Video