Skip to main content

Badminton

Berdepan Russia penanda aras kualiti skuad negara

wee-kiong.jpg
Menjelang aksi pembukaan Piala Thomas, pertemuan pertama berdepan Russia akan menjadi penanda aras kredibiliti skuad negara dalam misi mencipta kejayaan di Bangkok bermula esok.

"Jika terdapat sedikit pun perasaan gentar apabila turun bertarung, maka Malaysia boleh melupakan hasrat menamatkan kemarau kejuaraan Piala Thomas," kata pemain beregu lelaki negara, Tan Wee Kiong, apabila berbicara mengenai wakil kali pertama negara dalam kejohanan itu.

Buat skuad beregu, tertutamanya, sentimen itu terarah kepada gandingan meningkat naik, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.

"Aksi dalam acara berpasukan pastinya sukar dijelaskan, cuma kami harus benar-benar fokus, terutama jika diturunkan.

"Untuk Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, mereka adalah gandingan yang bagus tetapi perlu berani dan fokus, begitu juga Teo Ee Yi dan Arif Latif. Masing-masing harus percaya pada kemampuan diri," ujar Wee Kiong.

Skuad negara hari ini berpeluang menguji gelanggang rasmi kejohanan di Impact Arena.

Selain menyesuaikan diri, barisan beregu turut memperinci keserasian beraksi dengan gandingan berbeza. 

"Itu merupakan perkara biasa dan saya harap semua pemain sentiasa bersedia," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video