Ketua jurulatih Buriram United, Mark Jackson, melaungkan keyakinan bahawa kelab Thailand itu bakal mencipta satu lagi sejarah baru menjulang kejuaraan Kelab-Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee 2025/2026, malam esok.
Sedar peluang masih terbuka buat kedua-dua pasukan, pengendali berbangsa Inggeris itu mengakui kelebihan satu jaringan yang dimiliki pasukannya mampu menjadi jurang pemisah bagi mereka mempertahankan kejuaraan.
Bahkan, kelibat Guilherme Bissoli yang kembali daripada penggantungan satu perlawanan amat dialu-alukan bagi menambah sengat di bahagian serangan.
"Ini satu peluang berharga buat kami untuk melangsungkan perlawanan akhir di gelanggang sendiri.
"Kami berikan tumpuan untuk itu sepanjang minggu ini kerana kami tidak akan memandang rendah seteru yang akan dihadapi.
"Kami menjalani persediaan rapi untuk menghadapi perlawanan ini.
"Bissoli juga sudah kembali turun berlatih dan kehadiran pemain berkualiti sepertinya adalah perangsang buat pasukan atas kemampuannya menjaringkan gol, dalam masa sama kesemua anak buah saya cergas jadi ia satu masalah buat saya," katanya dalam sidang media praperlawanan hari ini.