Terengganu Turtles menempah slot terakhir ke separuh akhir Grand Prix Terengganu, Emas Anuar Liga Sepaktakraw Malaysia (STL) 2024 selepas menyingkirkan Selangor Pistons dalam aksi rubber set 17-15,13-15,15-13 di Stadium Tertutup Gong Badak, sebentar tadi.

Selangor Pistons membariskan Aizat Azmi (Tekong), Arif Badri (Apit Kiri) dan Ariff Daniel (Apit Kanan), manakala Terengganu Turtles meletakkan skuad terkuatnya diketuai Zulkifli Razak (Tekong), Zulhusni Basri (Apit Kiri) dan Suthikiart Panseankaew (Apit Kanan).

Pasukan tuan rumah yang menampilkan tekong berpengalaman, Zulkifli Abd Razak atau lebih dikenali sebagai Sobey terlebih dahulu memukau trio Selangor dengan servis mengelirukan pada jaring untuk memimpin kedudukan 5-4.






Namun, Selangor yang menukar strategi dengan menggantikan Ahmad Aizat dengan tekong tinggi lampai, Zuhri Muhd Zain berjaya mengejar kedudukan untuk mengikat 9-9.

Kemasukan Khairul Aman pula membantu Terengganu untuk bangkit semula dengan sekurang-kurangnya dua rejamannya menyumbang kepada pendahuluan 15-14 sebelum Terengganu menutup set pertama dengan kemenangan 17-15 menerusi servis tidak menjadi daripada Ahmad Aizat yang kembali masuk menggantikan Zuhri Zain yang mengalami kecederaan.

Dalam set kedua pulak menyaksikan Zuhri kembali memperkuat trio Selangor yang mengejar rapat kedudukan di set kedua sekali gus membantu The Red Giants melakar kemenangan 15-13.

Set penentuan menyaksikan persaingan sengit antara kedua-dua pasukan tetapi kelebihan memihak kepada Terengganu Turtles untuk mara ke separuh akhir menewaskan Selangor Pistons 15-13 dalam aksi 1 jam 45 minit itu.

Terengganu Turtles akan berdepan cabaran PDRM Defenders dalam saingan separuh akhir esok.