Skuad bola sepak remaja wanita bawah 17 tahun (B-17) memperoleh kemenangan kedua berturut-turut susulan menewaskan Iraq 4-0 dalam perlawanan Kumpuan E, Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi.
Srikandi negara itu meneruskan kecemerlangan selepas menundukkan Syria 1-0, dengan menguasai keseluruhan aksi untuk menafikan hak pelawat, sekali gus menghampiri impian ke Piala Asia tahun hadapan.
Aisyah Nur Iman Mohd Fuad mencetak nama selaku penjaring pertama pada minit ke-19 hasil tandukan di hadapan gol sebelum tonggak Young Tigress, Qaseh Riana Dafira Mohd Rafiuddin, memberi keselesaan 2-0 menuju rehat separuh masa.
Ratusan peminat tempatan yang menghadiri perlawanan itu akhirnya terpegun melihat sensasi pemain berdarah campuran Malaysia-Taiwan, Lim You, yang dinobat Pemain Terbaik Perlawanan (MOTM) melakukan lencongan menewaskan penjaga gol Iraq untuk terus memberi kelebihan buat pasukan kebangsaan.
Kualiti yang dimiliki jelas memberi kelebihan terbaik buat Malaysia.
Namanya terus menjadi bualan hangat selepas prestasi memukau dalam Piala Srikandi Merdeka di Kudus, Indonesia Ogos lalu.
Sebelum tamat 90 minit, rembatan deras dari luar kotak penalti oleh Aisha Lynn Faris Mohamad Faris memastikan skuad kendalian Takayoshi Ishihara menutup permainan dengan kemenangan besar 4-0, dalam masa sama terus menghidupan harapan dan mimpi ke China 2027.
Pelapis Malayan Tigress itu akan berdepan India bagi aksi terakhir dengan misi wajib meraih kemenangan.
Juara kumpulan akan layak ke Piala Asia Wanita 2027 di China bersama empat lagi pasukan yang sudah mengesahkan tempat iaitu juara bertahan, Korea Utara, Jepun, Australia dan China pada 31 Mac hingga 17 April 2027.