Skip to main content

Rencana

Wenger akan merindui Old Trafford

wenger-ferguson.jpg
Jarang pengurus pasukan lawan diberikan tepukan berdiri di stadium keramat Manchester United, Old Trafford. Bukan sekali, tetapi dua kali.
Itulah yang berlaku kepada Arsene Wenger dalam kunjungan terakhirnya ke Old Trafford sebagai pengurus Arsenal.
“Ini membuktikan jika anda tidak lagi merbahaya, orang akan menyukai anda,” seloroh Wenger ketika sidang media selepas tamat perlawanan.
Wenger turut diberi penghargaan oleh bekas seterunya selama hampir 15 tahun, Sir Alex Ferguson sebelum sepak mula perlawanan.
“Perseteruan ini (Manchester United-Arsenal) paling sentiasa saya ingati. Kami perlu menewaskan mereka, tidak kira dengan apa cara sekali pun! Mereka merupakan sebuah kelab yang bagus dengan pasukan yang mantap,” – memetik kata Ferguson dalam buku program perlawanan itu.
Wenger sudah merasai suka duka perjalanan kariernya di Old Trafford, mungkin lebih dari yang lain. 
Tahun 2009, dia terpaksa menyaksikan perlawanan di kawasan penonton selepas di arah meninggalkan bangku simpanan selepas menyepak botol air.
Tanggal 28 Ogos 2011, antara detik hitam karier Wenger dengan pasukannya dibelasah 8-2 yang masih diperkatakan sehingga kini.
Namun tidak semuanya mimpi ngeri buat Wenger di Old Trafford.
8 Mei 2002, Arsenal muncul sebagai juara liga selepas menewaskan United hasil jaringan tunggal Sylvian Wiltord .
Itu juga  kejuaraan liga kedua buat Wenger bersama The Gunners selain meraih Piala FA pada musim yang sama.
Perseteruan Arsenal dan Manchester United antara yang paling ditunggu dalam kancah Liga Perdana Inggeris dengan Wenger juga pernah terlibat dalam perlawanan ‘panas’ di Old Trafford pada 2003 & 2004 .
Pada 21 September 2003,  ketika perlawanan masuk minit ke 80, Patrick Vieira di layangkan kad kuning kedua dan Gunners bermain 10 orang. Drama berterusan dengan United dihadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan namun gagal disempurnakan Ruud Van Nistelrooy.
Aksi Martin Keown melompat ke atas Nistelrooy menjadi topik utama selepas perlawanan dan Arsenal kekal tanpa rekod kekalahan sepanjang musim.
Hampir setahun kemudian, wujud perlawanan yang digelar ‘ Battle of the Buffet’ oleh media Inggeris selepas United menamatkan rekod tanpa kalah The Gunners.
Tiada pertukaran jersi selepas perlawanan dan berlaku pergaduhan di dalam terowong pemain sehingga balingan pizza dan kopi mengenai Ferguson.
Mungkin jika kita mengimbas kembali betapa sengitnya persaingan mereka berdua, itu sebenarnya menjadikan Liga Perdana Inggeris diikuti di seluruh dunia.
Karier Wenger bersama Arsenal akan berakhir, 5 tahun selepas Ferguson mengundur diri. Namun tiada siapa mampu melawan legasi yang ditinggalkan kedua-dua pengurus ini.
 

Advertisement

Must Watch Video