RENCANA
Wanita Mesir Juara Dunia
Dalam kehidupan adakalanya kita pernah merasakan sesuatu impian itu hanyalah angan-angan tahi ayam. Sebanyak mana kita mencuba, tapi masih gagal. Harapan berkubur.
Namun kejayaan luar biasa seseorang itulah yang membuka mata dan memberi inspirasi kepada kita bahawa jangan sesekali akur kepada kegagalan. Tapi terus mencuba dan terus mencuba kerana impian itu akan menjadi kenyataan.
Kekuatan inilah saya lihat di mata seorang wanita berusia 20 tahun dari Mesir.
Iklan
Namanya, Nour El Sherbini.
Nour menjadi idola dan selebriti skuasy dunia apabila menjadi Juara Dunia di Kejohanan Skuasy Wanita Dunia di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahan lagi, menjadi pemain wanita Mesir yang pertama dan pemain wanita termuda merangkul kejuaraan skuasy dunia.
Jika magis berlaku di piramid, magis juga dipamerkan di Arena Nicol David. Di perlawanan akhir menentang Laura Massaro, pemain nombor 1 dunia dari England, Nour ketinggalan 2-0.
Pemain dari Alexandria ini tidak mahu skrip yang sama seperti di final edisi 2013 di Pulau Pinang (ditunda dan dilangsungkan pada Mac 2014) berlaku sekali lagi.
Seperti Deja Vu!
Di negeri Pulau Mutiara, Nour mengecewakan Nicol David di separuh akhir.
Kali ini, beliau mengecewakan penyokong Malaysia sekali lagi apabila menyingkirkan ‘Duracell Bunny’ di suku akhir.
Bermulanya game ke 3 Nour El Sherbini menjadi idola saya. Karakter istimewa dipamerkan oleh pemain muda ini. Menang game ke 3 seterusnya game ke 4 dan di game ke 5, jelas menunjukkan personaliti Nour yang sungguh matang, sabar, displin dan berjuang seperti seorang wirawati.
Jika 2 tahun lalu tewas 2-3 kepada Laura, kali ini Malaysia menjadi lubuk emas Nour apabila menang 3-2 ke atas pemain nombor 1 dunia itu dan menjadi Juara Dunia 2016.
Perjalanan berliku tetapi sungguh manis buat Nour yang merangkul kejuaraan pertama Terbuka Remaja British pada 2007, selepas itu pada usia 13 tahun pemain termuda untuk menjadi juara remaja dunia dan di Kuala Lumpur, dinobatkan juara dunia wanita paling muda.
“Percayalah, impian boleh menjadi kenyataan. Saya sudah pun buktikan”, Nour pemain nombor 1 dunia terkini dengan nada bangga dan bersyukur.
Must-Watch Video