Skip to main content

Rencana

Wan Kuzri, Nazmi Faiz & Indra Putra: istilah wonderkid setakat mitos atau realiti?

wan-kuzri.jpg

Panggil saya sinikal, tetapi selagi kelibat Wan Kuzri Wan Kamal beraksi bersama pasukan bawah 19 tahun negara belum saya saksikan, sukar untuk saya hakimi samada beliau adalah penyelamat atau saviour yang kita nantikan dalam skuad negara.

Ya, saya sedar tatkala nama beliau tertera dalam senarai yang terpilih untuk menjalani latihan, gegak gempita di media massa dan sosial, laksana sang wira rahsia bakal membawa bola sepak Malaysia ke tanah yang dijanjikan. Bahkan, saya akui, dengan profil yang sangat mengagumkan, Wan Kuzri sudah tentu mampu membawa satu sisi yang berbeza dalam skuad muda negara bagi menghadapi saingan kejohanan AFC Bawah 19 tahun di Uzbekistan, Oktober nanti.

Advertisement

Biarpun St Louise FC, kelab yang diwakili Wan Kuzri beraksi dalam saingan USL, yang dianggap Divisyen Dua dalam sistem piramid bola sepak Amerika Syarikat, serta susuk fizikal yang dilihat ampuh untuk menguatkan pasukan negara, saya yakin Wan Kuzri mempunyai keperibadian yang kuat dalam menghadapi tekanan serta tidak terpana terhadap tumpuan yang diberikan kepada beliau.

Ditambah pula dengan status sebagai adik kepada Wan Kuzain, pemain Sporting City Kansas dalam aksi Major League Soccer (MLS) serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Fayhsal, mencerahkan lagi lampu sorot yang dihala pada beliau sepanjang penyertaan dalam kem latihan kendalian Brad Maloney baru-baru ini. Sesuatu yang secara peribadi, saya anggap distraksi dan perhatian yang tidak kondusif untuk pemain muda ini.

Wan Kuzain, kempunan kami untuk menyaksikan aksi anda dalam skuad kebangsaan ketika Sukan Sea 2019 di Filipina masih belum terubat.

Namun, bukan mahu mendabik dada, tetapi saya sudah lama dalam sukan bola sepak dan saya sudah lihat hampir segalanya. Termasuklah pemain yang terlalu awal dicanang sebagai pemain yang unggul, tetapi tidak mencapai potensi yang sepatutnya. Istilah overhyped dan overrated adalah satu label yang dianggap kryptonite bagi seorang pemain bola sepak, terutama yang sedang mencari arah dalam karier mereka. Terlampau banyak contoh wonderkid sebelum ini, sehingga kita tidak tahu yang mana sahih, dan yang mana palsu. Kita tidak mahu gelaran itu jadi legenda urban, yang hanya diceritakan di sisi katil sebelum tidur.

Sudah berkali-kali kita melihat senario yang sama, di mana seorang pemain yang cemerlang dalam usia yang muda, diangkat dengan segala pujian dan tumpuan media, akhirnya terperlus dalam pasir jerlus kemerosotan karier. Biarpun saya yakin Wan Kuzri punya segala yang diperlukan untuk menjadi aset buat negara dalam bola sepak, khususnya dalam kejohanan AFC Bawah 19 tahun dan berupaya membantu pasukan layak ke saingan Piala Dunia Remaja Bawah 20 tahun 2021, saya enggan kecewa lagi dengan tilikan Nostradamus yang amatur.

I'll believe it when I see it. Prove it to me, kid!

Sebelum ini terdapat beberapa nama seperti Nazmi Faiz Mansor dan juga N. Thanabalan yang pernah menjadi tumpuan media selepas mempamerkan potensi yang baik ketika masih remaja. Nazmi cetus sensasi sebagai pemain berusia 17 tahun yang membantu skuad B23 negara meraih emas di Sukan Sea 2011 Jakarta, dan siapa boleh lupa aksi bersahaja Thanabalan meragut air minuman isotonik 100 Plus dari tangan Asmawi Bakiri ketika temubual selepas perlawanan separuh akhir Sukan Sea 2017, setelah menjaringkan gol kemenangan menentang Indonesia, yang membawa pasukan negara ke perlawanan akhir untuk bertemu Thailand bagi penentuan pingat emas.

Namun sekiranya diimbas kembali detik Nazmi, yang digelar wonderkid ketika itu, diberi peluang menyertai kelab SC Beira Mar di Portugal sekitar tahun 2013, masih ada yang berbicara tentang peluang keemasan yang terlepas dari tangan beliau setelah kembali ke tanah air selepas hanya beberapa bulan di sana, ditambah dengan kesukaran beliau dari segi stamina untuk menempuh perlawanan 90 minit ketika beraksi dengan pasukan PKNS selepas itu.

Tetapi kredit harus diberi kepada yang sesuatu yang nyata - kini Nazmi dilihat semakin matang dalam menguruskan kariernya setelah menyertai pasukan Selangor dan JDT, seterusnya berjaya meraih kejuaraan Piala Malaysia pada tahun 2015 & 2017 bersama pasukan tersebut.

Lain pula kisahnya buat Thanabalan, selepas 2018 prestasinya tampak kurang menyinar bersama pasukan negeri asalnya, Negeri Sembilan, sebelum bersama Kedah musim lalu dan musim ini sekadar membarisi skuad Perak II dalam saingan Liga Perdana. Bukan mahu merendahkan kemampuan Thanabalan, tetapi berlandaskan aksi yang dipamerkan setakat ini, kita tidak mahu kecemerlangan beliau sebelum ini hanya sekadar kilasan di air yang tenang.

Sebagai pemain muda, konsistensi amat penting dalam persembahan di atas padang yang merangkumi saingan peringkat remaja sehingga ke peringkat senior dan sejujurnya, bukan mudah untuk dilakukan tanpa komitmen dan disiplin yang tinggi. Bakat saja juga tidak mencukupi untuk memberi jaminan kerjaya cemerlang buat seseorang pemain. Sudah ramai yang tersungkur di medan perjuangan dan hanya yang punyai keiltizaman serta sedikit tuah, yang mampu meneruskan kelangsungan karier.

Ketika saya bermain dalam saingan peringkat bawah umur, pemain yang saya kagumi ketika itu ialah Affendy Hamzah. Siapa, anda mungkin bertanya. Tidak ramai peminat hari ini yang mengingati atau tahu mengenai pemain ini setelah sekian lama menyepi. Affendy berusia 17 tahun ketika membarisi skuad Olimpik kebangsaan kendalian Claude Le Roy pada 1995 dan kemudian beraksi bersama skuad remaja negara di saingan Piala Dunia Remaja B20 FIFA 1997 yang berlangsung di Malaysia.

Ketika itu, jurulatih saya di peringkat sekolah dan juga remaja negeri kerap menjadikan Affendy sebagai pemain yang wajar kami contohi kerana berjaya beraksi di peringkat tertinggi walaupun masih belasan tahun ketika itu. Daripada seorang penyerang, Affendy kemudian diubah posisi menjadi seorang pertahanan yang cukup kental dan dilihat sebagai aset masa depan skuad senior kebangsaan ketika itu.

“Affendy Dirantai PSG” merupakan tajuk muka belakang sebuah akhbar arus perdana ketika itu yang menunjukkan betapa gah nama Affendy ketika itu yang turut menjadi tumpuan media tetapi malangnya, selepas saingan Piala Dunia Remaja 1997, kelibat Affendy tidak lagi kelihatan dalam kancah Liga M. Selang beberapa tahun selepas itu, Affendy muncul kembali dalam saingan bola sepak tempatan sekitar 2009-2011 atas kapasiti sebagai penolong jurulatih pasukan KL Plus. Tetapi sebaik saja kelab itu dibubarkan pada 2012, Affendy sekali lagi hilang daripada radar bola sepak tempatan sehingga hari ini.

Satu enigma sebenarnya bagi saya sendiri, mengapa Affendy tidak berjaya mencipta nama dalam saingan Liga M. Ada yang beranggapan masalah peribadi menjadi punca kemerosotan permainan beliau. Bagi saya, alangkah baik jika dia terus aktif sebagai jurulatih, kerana dengan cara itu dia boleh menurunkan pengalamannya kepada generasi pemain hari ini.

Bola sepak Malaysia could use some help, Affendy. We miss you, buddy.

Seorang pemain senior kini yang boleh saya katakan memecah tipasama label wonderkid, di mana kecemerlangan daripada usia muda konsisten sehingga kini adalah Indra Putra Mahayuddin. Beliau yang kini berusia 38 tahun tetapi seakan tidak mamah usia kerana masih mampu beraksi di saingan kompetitif.

Seperti Affendy, Indra turut mencuri tumpuan dari usia yang muda. Namun, dia berjaya mengekalkan prestasi sehingga bergelar pemain senior dan sudah meraih hampir semua kejuaraan utama dalam saingan bola sepak Malaysia, selain bermain dengan skuad negara. Peluang beraksi bersama beliau dalam skuad negara membutirkan satu penghormatan, kerana dapat bermain dengan seorang tokoh di atas padang. Biarpun tidak selantang Shukor Adan, seorang lagi pemain senior dalam skuad kebangsaan, Indra tetap dihormati dengan cara kepimpinan beliau tersendiri.

Perkataan seperti p**i**k dan b***h itu biasalah, kadang-kala keluar daripada mulut Indra apabila dalam padang ketika dia memarahi pemain muda melakukan kesilapan tetapi pada masa sama dia turut membimbing mereka seperti seorang abang mengajar seorang adik. Pernah dalam satu perlawanan, pasukan kami ketinggalan satu gol, Indra datang kepada saya dan memberi kata-kata semangat.”Game panjang lagi ni, ko jangan give up, kita dah control game ni. Nanti dapat je sebiji, confirm kita comeback!”  Bak azimat yang mustajab, kata-kata Indra itu makbul dan tepat sekali, pasukan kami menang dalam perlawanan itu.

Bila saya renung kembali, saya sedikit terkilan kerana Indra tidak mencuba nasib bermain di liga luar negara ketika di usia muda. Saya tahu ada beberapa kelab Thailand yang berminat untuk menagih khidmatnya satu masa dulu. Jika dia beraksi di sana, saya percaya nama dan reputasinya akan menjadi lebih besar ketika ini. Tetapi, bagi saya secara peribadi, Indra masih antara pemain terbaik pernah dilahirkan oleh negara dalam era bola sepak moden, dan jelas satu contoh yang baik buat pemain-pemain muda hari ini - jika anda enggan dianggap overrated, contohi komitmen Indra untuk menjadi seorang pemain yang berjaya.

Shut your mouth and do the work! Walaupun sebenarnya, aku rindu carutan manja kau, Indra.

Tekanan sebagai pemain muda tumpuan pernah saya rasai. Ada satu ketika dalam karier saya, sebuah pasukan negeri yang jauh dari negeri asal, menjadi pilihan saya untuk meneruskan karier saya dalam bola sepak. Biarpun seribu satu persoalan bermain di minda saya seperti, mampukah saya memenuhi potensi saya yang sebenar, saya mengambil keputusan untuk berhijrah. Agak jauh saya merantau di usia muda, tetapi pada masa itu, pasukan tersebut mempunyai pengurusan yang baik serta sebuah skuad yang berkaliber dalam saingan bola sepak Malaysia.

Saya bertuah kerana berpeluang berkongsi kediaman dengan beberapa pemain senior yang berasal dari negeri sama dengan saya, jadi tiada masalah buat saya menyesuaikan diri dengan kehidupan harian, persekitaran dan pasukan baharu yang jelas memudahkan saya fokus hanya kepada bola sepak. Salah satu perkara yang sehingga kini masih saya ingati, adalah ritual saya dan seorang pemain senior untuk makan pizza sehari sebelum perlawanan.

Sambil menikmati juadah normal dari barat itu, kami akan berbincang mengenai perlawanan dan dia akan menasihati saya tentang apa yang perlu dilakukan untuk memastikan perancangan jurulatih dapat kami laksanakan dalam padang. Keakraban saya dengan pemain senior ini banyak membantu juga permainan saya selama bersama pasukan. Prestasi cemerlang dalam beberapa musim, merintis peluang buat saya untuk berhijrah ke pasukan yang lebih besar, seterusnya mengukuhkan kedudukan saya dalam skuad kebangsaan yang sememangnya keutamaan saya ketika itu.

Brother, thank you for your guidance. And especially for the pizza.

Saya bersyukur kerana dengan nasihat dari mereka yang lebih berpengalaman, serta sedikit tuah yang menyebelahi saya, kerjaya saya dalam bola sepak membuahkan hasil kejayaan, lebih dari yang saya impikan. Tiada apa yang saya lebih mahukan kini, dari melihat pemain-pemain muda hari ini, mencapai potensi yang lebih bermakna dalam karier mereka, dan seterusnya membawa bola sepak negara menuai kejayaan yang sememangnya kita mampu, dan layak untuk kita capai.

Percayalah, lebih baik jadi underrated dari overrated, boys!

Masih aktif dalam bola sepak, Talisman Asrar berpengalaman di peringkat liga dan antarabangsa, dan kadangkala mempunyai peranan besar sebagai pengkritik kerusi malas.

Must Watch Video