Skip to main content

Rencana

Van Dijk, kereta kebal dari Breda (bhg akhir)

cover.jpg
Jika perjalanan karier Virgil Van Dijk bersama kelab boleh ditafsirkan sebagai satu laluan yang kemas disusun, aksi antarabangsa buat pertahanan berusia 27 tahun itu tidak begitu cemerlang.
 

Tiada pencapaian yang boleh dibanggakan Van Dijk bersama skuad The Oranje susulan kegagalan membantu pasukannya melayakkan diri ke pentas Euro 2016 serta Piala Dunia 2018, selain mengetuai The Oranje membenam juara dunia 2014, Jerman, 3-0 dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA, 14 Oktober lalu.
 

 
Namun, aksi persahabatan berdepan England yang menyaksikan Belanda tewas 1-0 kira-kira tujuh bulan lalu semestinya akan diingati Van Dijk tatkala dia dilantik selaku kapten pasukan, sehari sebelumnya.
 
Justeru, apakah jenis corak permainan yang ditampilkan Van Dijk sehingga membolehkannya mudah menyesuaikan diri di England bersama Southampton dan Liverpool serta mengetuai skuad kebangsaan Belanda bimbingan Ronald Koeman?
 
Van Dijk dikenali dengan corak permainan yang lebih gemar melakukan hantaran pendek. Berbeza dengan bek tengah terkenal dunia lain seperti Sergio Ramos (Real Madrid/Sepanyol) dan David Luiz (Chelsea/Brazil), dia cenderung untuk menghalang serangan lawan tanpa bentesan yang menjatuhkan badan.
 

 
Apa yang menarik, walaupun bekas tonggak Celtic itu seorang pemain yang menggunakan kaki kanan, dia lebih menyerlah apabila beraksi di bahagian kiri pertahanan tengah.
 
Ketinggian 1.93 meter jelas digunakan sebaik-baiknya tatkala Van Dijk sering unggul dalam setiap perebutan bola di udara. Kemampuan itu lebih terserlah sewaktu dia kekal tenang dalam semua kawalan bola serta mengetuai barisan bawah Liverpool dan Belanda berbekalkan kelebihan fizikal yang ada.
 
Van Dijk juga sering dilihat bijak membaca pergerakan lawan ketika menerima serangan balas, lebih-lebih lagi bekas produk Willem II itu mampu mencetuskan larian pantas walaupun dengan susuk tubuh yang besar.
 

 
Kelebihan-kelebihan yang disebutkan di atas membuatkan bekas pencuci periuk restoran Oncle Jean di bandar kelahirannya, Breda, itu ternyata mampu menggalas status pemain bek termahal dunia dan layak untuk menerima bayaran GBP10 juta (RM54 juta) setahun di Anfield.
 
Mungkin tidak keterlaluan jika melabelkan Van Dijk sebagai pertahanan tengah terbaik Liga Perdana Inggeris ketika ini, mengatasi Luiz dan Antonio Rudiger (Chelsea), John Stones dan Nicolas Otamendi (Manchester City), Jan Vertonghen dan Toby Alderweireld (Tottenham Hotspur) serta bek tengah daripada pasukan lain.
 

 
Buat penyokong Liverpool, selain memuji kehebatan Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane setiap minggu, sumbangan besar Van Dijk juga tidak boleh dilupa serta dinafikan kerana tanpa kelibat pemain berketurunan Surinam Belanda itu, barangkali The Reds tidak mencapai kecemerlangan hari ini.

Advertisement

Must Watch Video