Skip to main content

Rencana

Usah menangis Indonesia ..

mas.jpg
Sebaik mengetahui aksi separuh akhir Piala AFF bawah 19 tahun membabitkan pertemuan Malaysia dan Indonesia, penulis sudah menjangkakan kerumitan yang bakal disajikan oleh penyokong fanatik Indonesia.

Namun sebaik tiba pada hari perlawanan, Gelora Delta Sidoarjo tampak tenang, dan keputusan penulis tiba 5 jam awal dari waktu sepak mula seolah-olah sia-sia.

Melihat keadaan ini penulis yakin insiden Piala AFF 2010 tidak akan berulang, dan perlawanan mampu berlangsung dengan tenang walaupun ada provokasi di kalangan penyokong, dan penulis anggap itu perkara normal.

Sangkaan penulis meleset sama sekali.

Percikan keegoan penyokong Indonesia terserlah sebaik nyanyian lagu Negaraku diperlekehkan.

Ketika Negaraku berkumandang, majoriti di Gelora Delta Sidoarjo membuat bising, mengeluarkan kata kata kesat bersama dengan isyarat lucah sehingga bait lagu kebangsaan kita hampir tidak kedengaran langsung.

Penulis bersabar. "Masih tak berubah" Itu ayat pertama yang terlintas di fikiran penulis.

Perlawanan berlangsung sengit, panas dan jelas setiap pemain membawa semangat negara masing-masing ketika diatas padang sehingga ia berlanjutan ke babak penalti.

Malang buat Indonesia, penalti juga gagal membantu mereka untuk mara ke final dan lebih perit mereka sekali lagi ditundukkan Malaysia, yang merupakan seteru utama sejak dahulu lagi.

Bermulalah adegan melempar batu, botol dan pelbagai objek ke dalam padang sehingga pemain negara terpaksa di kawal rapi anggota keselamatan yang ditugaskan.

Mungkin ini cara mereka meluahkan rasa kecewa dengan kegagalan demi kegagalan di tangan Malaysia, namun sebagai manusia bertamadun, pendekatan ini sangat tidak wajar.

Tiada semangat kesukanan sebenar sehingga sampai tahap sanggup mencederakan pasukan pelawat, dan cubaan mencederakan juga begitu jelas.

Apa yang lebih utama mungkin penyokong negara jiran perlu fikir bagaimana cara untuk menjaga air muka negara, kerana dengan cara sebegini jelas melambangkan keperibadian sesebuah negara itu sendiri.

Apa yang dikongsikan ini tiada niat untuk memburukkan mana-mana pihak. Tetapi jika dilihat dari sudut positif ia pengajaran untuk Malaysia juga agar lebih bijak tangani emosi dimasa akan datang.

Kerana rakyat mencerminkan negara. Penyokong tulang belakang pasukan.

Advertisement

Must Watch Video