RENCANA
Usah maki, kasihilah pasukan kebangsaan kita
Sambil saya menatap berita Harimau Malaysia tewas 0-2 kepada Papua New Guinea (PNG) dalam perlawanan persahabatan antarabangsa kategori A dalam siri Jelajah Oceania, Jumaat lalu, menerusi Facebook, naluri saya direntap-rentap di antara ribuan komen yang menghentam Datuk Ong Kim Swee serta barisan pemainnya dan tanggungjawab untuk mempertahankan pasukan kebangsaan.
Terngiang-ngiang pesanan bos saya ketika saya memulakan tugas di Astro Arena lebih enam tahun lalu: “Bukan kerja kita untuk menghentam pasukan kebangsaan sendiri walau apa pun kekurangan dan kelemahan mereka.
“Sebaliknya, kita tidak akan rugi apa-apa dengan terus berkata-kata yang positif mengenai pasukan negara sendiri kerana pasukan (negara lain) yang berjaya hari ini pun harus pernah melalui zaman kegelapan mereka.
Iklan
“Dalam banyak-banyak perkara negatif mengenai pasukan kita, pasti ada satu atau dua perkara positif yang boleh ditonjolkan. Nah! itulah tanggungjawab kita untuk mengetengahkan perkara yang baik-baik dan meninggalkan yang buruk-buruk biar apa pun yang orang lain mahu katakan,” itu pesannya.
Mudah saja sebenarnya untuk saya memihak kepada majoriti peminat yang menghamburkan pelbagai kata nista terhadap Kim Swee dan pemain-pemainnya kerana saya tidak akan dilihat melawan arus – dalam soal ini ia umpama glombang besar.
Sebaliknya, yang sukar adalah untuk saya menjadi ‘peguambela’ buat Harimau Malaysia, pasukan di tangga ke-173 dunia, yang tewas kepada PNG, 20 takuk di bawah Malaysia di tangga ke-193.
Antara 1,000 lebih komen melalui Facebook Astro Arena yang saya amati satu-persatu untuk cuba menyelami perasaan mereka, sudah ada yang mengandaikan Malaysia selayaknya mengisi tangga ke-200 dunia selepas kekalahan itu – satu kedudukan yang ketika ini diisi San Marino.
Saya semakin mengerti amarah mereka, apatah lagi siri Jelajah Oceania ini, termasuk menentang New Caledonia (ranking 183) pada 22 Jun dan Fiji (ranking 186) pada 26 Jun adalah sebahagian ikhtiar Malaysia untuk memperbaiki ranking dunianya.
Andai ditakdirkan kalah kedua-dua perlawanan itu pun dan Malaysia merudum ke ranking ke-200, tsunami cacian dan desakan Kim Swee meletakkan jawatan, harus dijangka akan datang menggila. Tetapi, selepas itu apa?
Dalam memikirkan kemungkinan itulah, pesanan bos saya – seorang Mat Salleh dari Liverpool yang sudah lama merantau di Asia – datang semula sebagai ingatan paling lantang.
Harus benar kata-katanya bahawa caci-maki dan kata nista terhadap pasukan kebangsaan sendiri tidak akan banyak mengubah apa-apa.
Natijahnya, pasukan kebangsaan sudah pernah dibelasah 10-0 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam pusingan kelayakan Piala Asia zon Asia di Abu Dhabi pada 3 September 2015 yang mengundang keaiban besar setaraf dengan satu skandal negara.
Dollah Salleh berundur selaku jurulatih sekembalinya dari sana tapi apakah sumpah-seranah peminat seiring dengannya sudah mengubah apa-apa?
Barangkali satu pendekatan yang belum kita cuba ialah memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada pasukan kebangsaan, sekalipun ketika kalah, apatah lagi ketika menang.
Izinkan saya memanjangkan pesanan bos saya yang tidak harus terbatas kepada pengulas di Astro Arena tetapi meliputi setiap peminat bola sepak Malaysia dan setiap waranegaranya, tua atau muda.
Kita mungkin tidak pernah lagi membuat pemain-pemain bola sepak kebangsaan kita berasa mereka diambil peduli susah atau senang mereka, dimengerti keringat dan pengorbanan mereka serta dikasihi kudrat dan kesakitan mereka sambil berjuang dengan bendera kecil Malaysia terpampang di dada.
Ayuh kita ubah sikap dan mulakannya kerana kitikan kita pun bukan yang membina.
Kita tidak akan pernah terlambat dalam mengasihi pasukan kebangsaan kita sendiri kerana pemain-pemainnya juga adalah dari darah daging kita.
Must-Watch Video