Lama tidak mendengar khabar pemegang rekod 100 meter kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan.

Sejak kembali daripada kecederaan hamstring dan tendon buku lali yang memaksanya berehat tujuh bulan, The Speedy Jantan hanya sempat beraksi pada Kejohanan Kebangsaan pada Ogos 2019 sebelum raih pingat perak 4x100m Sukan SEA Filipina (Disember).

Selepas itu, pelari berusia 22 tahun ini lebih banyak fokus terhadap misi menaikkan berat badan untuk membina otot dan khabarnya dia kini sudah mampu menjalani sesi latihan penuh di bawah kendalian Mohd Poad Kassim.

Kebetulan pula, Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) mengumumkan tarikh kelayakan Sukan Olimpik Tokyo ditunda 1 Disember 2020 hingga Jun, tahun depan.

Jadi, Khairul dan rakan seperjuangan mempunyai tempoh sembilan bulan untuk buat persiapan terbaik sebelum buru tiket Sukan Olimpik Tokyo.



Had kelayakan 100m Olimpik Tokyo, 10.05 saat berbanding rekod kebangsaan 10.18s milik Khairul dilakukan pada 2016.

Untuk rekod setakat ini 31 pelari sudah melepasi had kelayakan secara merit dengan jaguh Indonesia, Lalu Mohamad Zohri muncul satu-satunya jaguh Asia Tenggara yang berjaya menyertai kelompok itu.

Kuota disediakan untuk 56 pelari terbaik.

Jika tiada pertambahan selepas tarikh tutup kelayakan Jun, tahun depan - maka kedudukan ranking dunia akan diambil kira.

Saya fikir Khairul ada peluang untuk melakukannya walaupun untuk meningkatkan 0.1 saat saja bukan sesuatu yang mudah.

Cuma, keadaan berpihak kepada Khairul kerana mempunyai banyak masa untuk buat persiapan.

Begitu juga dengan Raja Pecut Sukan SEA 2019, Mohd Haiqal Hanafi selain Jonathan Nyepa, Mohd Zulfiqar Ismail dan Russel Alexander Nasir Taib.

Kali terakhir Malaysia mempunyai wakil 100m lelaki menerusi Watson Nyambek di Sukan Olimpik Sydney 2000.

Kini, barisan muda negara berpeluang menamatkan penantian 21 tahun.

Ayuh jaguh pecut negara!