Skip to main content

Rencana

Tugas pengulas EPL tidak semudah disangka

astro-supersport-premier-league.jpg
Ulasan perlawanan siaran langsung Liga Perdana Inggeris (EPL) sebenarnya memainkan peranan penting dalam menarik penonton.

Gandingan pengulas Peter Drury dan Jim Beglin boleh diibarat sebagai duo utama dalam siaran langsung EPL sejak lebih dua dekad.

Drury adalah pengulas bersama Premier League Production kini dan mula bertugas bersama BBC sejak era 90an.

Beliau turut mengendalikan ulasan saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dan suaranya memang cukup sinonim ketika siaran langsung.

Mungkin ramai peminat tempatan kurang mengetahui, Beglin pula sebenarnya adalah bekas bek kiri Liverpool, Leeds United dan Blackburn Rovers pada era 80an hingga awal 90an.

Karier profesionalnya berakhir gara-gara kecederaan serius dan Beglin mula menceburi bidang media sebagai pengulas pada awal 90an.

Kini dia sudah membuat ulasan bukan saja di EPL dan UCL tetapi juga di Piala Dunia 2014 di Brazil dan 2018 di Russia.



Suara Beglin turut kedengaran dalam permainan video Pro Evolution Soccer sejak edisi 2011.

Ternyata tugas sebagai pengulas sebenarnya tidak semudah yang ramai sangkakan, apatah lagi membuat ulasan EPL yang mempunyai jutaan penonton seluruh dunia.

“Ketika mula bertugas dulu, saya kerap digandingkan dengan mereka yang berkelulusan universiti.

“Jadi saya perlu bekerja keras memastikan sebutan dan juga perbendaharaan kata yang digunakan sesuai,” kata Jim Beglin dalam siaran terkini Squeaky Bum Time yang akan bersiaran di Youtube pada 15 Mei, jam 6 petang.

Sebutan nama pemain juga adalah cabaran buat Drury dan Beglin, terutama pemain asing yang beraksi di musim pertama di EPL.

“Kadang-kala, tidak ada sebutan salah atau tidak tetapi sebutan yang dipilih adalah yang paling sesuai buat ulasan televisyen.

“Satu contoh ialah Kevin De Bryune, bagaimana anda sebut namanya?

“Kini De Bruyne (disebut 'De Brooine') adalah bintang utama EPL tetapi ketika dia bersama Chelsea, ada satu perlawanan saya menyebut namanya 'De Brooi'.

“Ketika itu, ada juga pengulas dari Belgium bertugas dan saya bertanya kepada mereka sebutan yang tepat buat De Bryune.

“Mereka menyebut namanya sebagai 'DeBrooi' tetapi selepas itu kami memutuskan untuk menyebut “De Brooi Ne kerana ia lebih sesuai dan 'DeBrooi' hanya disebut di kawasan daerah pendalaman di Belgium,” kata Drury.

Kedua-dua Drury dan Beglin akui mereka memerlukan masa sehari untuk menyiapkan fakta ulasan bagi satu perlawanan.

“Ada masanya kita tidak sempat menggunakan nota fakta perlawanan yang kami buat, kerana mungkin aksi begitu rancak.

“Jika di saat begitu, saya perlu berinteraksi dengan baik bersama rakan pengulas bagi memastikan kami dapat melakukan ulasan berkesan,” kata Beglin.

Mengulas mengenai pembabitan suaranya sebagai pengulas di Pro Evolution Soccer, Beglin akui pada mulanya ia cukup sukar.

“Sudah 10 tahun saya terbabit dalam permainan video Pro Evolution Soccer, pada awalnya saya terpaksa buat banyak rakaman.

“ Tetapi selepas sekian lama, saya mula memasukan unsur analisa saya sendiri dalam membuat ulasan di permainan video dan ia memberi kesan positif.

“Ia mencabar kerana saya perlu menyebut mengenai situasi yang tepat dan kadang-kala adalah untuk tidak menyentuh lansung mengenai situasi itu dalam permainan video,” tambah Beglin.



Diharapkan perkongsian Drury dan Beglin ini dapat memberi gambaran lebih jelas tugas mereka kepada peminat.

Meskipun seorang bekas pemain, Beglin sebenarnya lebih banyak belajar daripada pengulas seperti Drury untuk menjadi pengulas yang lebih berkesan ketika siaran.
 

Advertisement

Must Watch Video