RENCANA
T-Team... Leicester City Malaysia?
Seantero dunia masih berbicara perihal kejayaan kelab kerdil, Leicester City muncul juara Liga Perdana Inggeris (EPL) tanpa perlu membawa masuk pemain-pemain berkelas dunia.
Cukup dengan semangat kekeluargaan yang dibina oleh Claudio Ranieri, Leicester atau terkenal dengan jolokan The Foxes, mereka kejutkan kelab-kelab ternama seperti Manchester United, Liverpool, Arsenal, Manchester City dan Chelsea.
Seperti satu kebetulan, di tanah air kita...kehebatan prestasi ditonjolkan oleh T-Team dalam saingan Liga Super menjadi buah mulut peminat sebaik merakamkan empat kemenangan berturut-turut.
Iklan
Siapa sangka pasukan dipanggil 'The Titans' dan diubah nama kepada Terengganu FC II ini yang terumbang-ambing pada awal musim, mula mengorak langkah berada di tangga ketiga Liga Super.
Dikatakan pasukan yang punyai bajet paling kecil dan jadi calon favourite untuk jatuh ke saingan Liga Perdana musim depan, Rahmad Darmawan nyata ada formula tersendiri membentuk kekuatan pasukan.
Membawa masuk import-import yang berkualiti dari Liga Super Indonesia (ISL) seperti Makan Konate, Abdoulaye Maiga dan Patrick Cruz, adunan mereka cukup sebati dengan pemain-pemain tempatan.
Rahmad setakat ini buktikan kuasa wang bukan segala-galanya bagi mendapat sebuah pasukan konsisten, apa yang penting ialah keseimbangan dan persefahaman bermain dalam satu pasukan.
Ketiadaan pemain berstatus bintang mungkin memudahkan Rahmad beri tunjuk ajar kepada pemain muda seperti Muhd. Safawi Rasid, Ahmad Takhiyuddin Roslan, Mohd. Asrol Ibrahim dan Mohd. Arif Fadzilah.
Malahan, corak permainan T-Team cukup menghiburkan dengan amalkan falsafah bola sepak moden iaitu bermain hantaran pendek dan pantas.
Prestasi ditunjukkan oleh T-Team beri tamparan hebat kepada skuad abang, Terengganu yang sekadar mampu berada di tangga kesembilan selain kalah dalam enam perlawanan walaupun daripada segi kualiti pemain di atas kertas, ia memihak kepada Terengganu.
Malahan, berdasarkan sumber daripada rakan penulis, lebih ramai penyokong Terengganu kini beralih arah hadir ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah untuk beri sokongan kepada T-Team.
Jika situasi ini berterusan, mungkinkah kuasa utama bola sepak di Terengganu akan beralih arah kepada T-Team?
Mungkin masih terlalu awal untuk mengatakan T-Team boleh mengikut Leicester kerana liga baharu sahaja memasuki sembilan perlawanan tetapi penulis rasakan ia tidak mustahil.
Di bawah sentuhan Rahmad yang dilihat cukup mesra pemain namun tegas kerana punyai latar belakang sebagai seorang tentera, T-Team mungkin tanpa diduga boleh jadi pencabar utama Felda United dan Johor DT bagi kejuaraan liga Super.
Must-Watch Video