Skip to main content

Rencana

Tiga kelab Indonesia cocok buat Safawi… kelakarlah

farizal-marlias-penalti-indonesia-(1).jpg
Benarlah, sekeping gambar bernilai seribu perkataan.

Tanpa kapsyen sekalipun, ia tersirat pelbagai makna – dan terpulang kepada setiap orang yang menatapnya untuk membuat tafsiran masing-masing.

Detik ini dirakamkan sejurus penjaga gol, Farizal Marlias -- yang masuk menggantikan Khairulazhan Khalid yang cedera selepas hanya 20 minit permainan --  menyelamatkan sepakan penalti Osas Saha, pemain naturalisasi berusia 33 tahun kelahiran Nigeria, pada minit ke-81 perlawanan ketika skuad Sang Garuda itu sedang terdesak ketinggalan 0-2.

Kepada dakwaan Indonesia bahawa merekalah yang lebih banyak mencipta peluang dan lebih efektif dalam gerakan mereka di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam Khamis lalu, gambar Farizal yang sedang menyeringai ini adalah jawapan terbaik.

Cuma, anggaplah ia sebagai mengejek.

Dua hari selepas kekalahan dalam perlawanan kelayakan pusingan kedua Kumpulan G, Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu, media Indonesia terus menghangatkan pelbagai cerita yang bertujuan mempertahankan timnas (pasukan kebangsaan) mereka.

“Kami tidak punya banyak pilihan di tengah (tanpa Evan Dimas dan Stefano Lilipaly yang digantikan rangkaian Bayu Pradana, Hendro Siswanto dan Teuku Muhammad Ichsan). Saya menilai Ichsan bermain luar biasa bersama Hendro dan Bayu. 

“Kita bisa melihat Malaysia hanya bisa bermain ke samping dan pinggir. Pemain nombor 15 mereka (Brendan Gan) lebih sering memainkan bola ke belakang," kata pemangku jurulatih lawan, Yeyen Tumena, yang barangkali tertekan dengan kekalahan dalam perlawanan pertamanya mengendalikan pasukan, menggantikan Simon Mcmenemy yang dipecat.

Biarlah kalau pun Harimau Malaya lebih banyak mengatur gerakan dari bahagian sayap kerana hasilnya tetap menang selesa 2-0 – seperti senyuman meleret Farizal yang seakan-akan mempersendakan Indonesia kerana tidak mampu menjaringkan sepakan penalti sekalipun.



Terbaru, portal indosport.com mencadangkan tiga kelab dalam Liga 1 Indonesia yang mungkin sesuai buat pemain sayap terhangat Malaysia, Safawi Rasid, andai bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu memilih untuk berpindah dalam jendela perpindahan kali ini.

Tira Persikabo, Persib Bandung dan Persebaya Surabaya diuar-uarkan sebagai pilihan terbaik, seolah-olah Safawi pernah membayangkan keinginan untuk berhijrah ke Indonesia sedangkan dia tidak pernah berbuat demikian.



Mengandaikannya kepada hasrat Safawi bermain di luar negara, indosport.com memetik kata-kata pemain itu kepada akhbar New Straits Times: "Saya berharap mampu bermain di luar negara di masa akan datang. Namun, untuk saat ini, saya harus menghormati pemilik JDT (Tunku Ismail) kerana telah menjaga saya dan kelab dengan baik.”

Laporan itu bersandarkan kepada kata-kata yang pernah diucapkannya kepada Rahmad Darmawan – kini jurulatih Tira Persikabo -- yang pernah menjadi jurulatihnya ketika bersama T-Team.

Portal itu memetik Rahmad sebagai berkata: “Saya sudah jarang komunikasi. Dulu dia sempat mengutarakan keinginan bermain di Indonesia. Pernah dulu, waktu satu tahun setelah di JDT, dia kan kadang-kadang main dan kadang-kadang tidak.”

Tapi itu cerita lama – cerita sebelum Safawi bergelar Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2018 dan 2019 – yang harus tidak relevan lagi.

Dengan dua gol gemilangnya malam kelmarin yang membantu Harimau Malaya menundukkan skuad Garuda itu  buat kali kedua tahun ini, harus tidak masuk akal untuk Safawi berminat beraksi dalam liga Indonesia ketika sasaran negara terdekatnya haruslah Jepun.

Mereka yang berkenaan wajar menatap foto Farizal di atas yang perlu ditafsirkan sebagai benar-benar menyindir.

 

Advertisement

Must Watch Video