Skip to main content

Rencana

Terima kasih ‘Black’

270117-izuwan-arifin4fc7be0a3d81604aa734ff0000212b38.jpg
Namanya Izuwan Arifin. Anak kelahiran Kuantan, Pahang. Pernah main bola tapi kerap kali jugak bertongkat. Dah dipesan jangan, nak main jugak. Itulah Black nama glamour di Kajian Sains Sukan dan Rekreasi ITM pada ketika itu hinggalah bertukar kepada UiTM.

Penulis mengenali Black pada tahun 1997. Dia pelajar paling senior ketika itu kerana kumpulan pertama yang diterima belajar di kajian bukan fakulti pada ketika itu. Penulis mengikuti pengajian diploma tahun 1997, maka bermulalah sesi pengenalan dengan Black dan rakan rakan senior. Penulis mula rapat sebab salah seorang senior di sekolah yang juga bekas pemain hoki wanita Kedah, "Kak Linda", satu kelas dengan Black.

Mengenali Black cukup seronok. Seorang yang mudah berjenaka. Black pernah jadi pengurus pasukan bola fakulti tapi dengan gaya yang tersendiri. Pakai blazer ala ala EPL. Black juga yang beri pembesar suara untuk penulis buat ulasan perlawanan antara fakulti.

Black jarang beri penulis balik kampung ketika cuti semester sebab nak cari duit lebih kerja sukarelawan kejohanan sukan yang diadakan di ITM. Itulah istimewanya Black.

Dipendekkan cerita, Black mula bekerja di Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor dengan penuh dedikasi sehinggalah dibawa pula ke Majlis Sukan Nrgara (MSN) Bukit Jalil. Di sinilah, bakat dan keterampilan Black cukup menyerlah.

Jaga bola sepak, hoki, atlet pelapis dan macam-macam lagi. Namun, kemuncak kerjaya Black yang mungkin kita perlu tahu pastinya kejayaan atlet atlet Paralimpik negara di Rio. Di belakang tabir kejayaan Ridzuan Puzi, Ziyad Zolkefli dan Latiff Romly, adanya Black.

Penulis masih ingat ketika sambutan kepulangan atlet Para dari Sukan Paralimpik Rio, Black bertungkus-lumus berada di Kompleks Bunga Raya sehingga jam 3 pagi, terkunci tak boleh balik. Tapi esoknya jam 9 pagi, dah terpacak di venue.

Semua urusan Paralimpik hampir sebulan Black uruskan bersama pasukannya. Penulis pernah menyapa, "Black, hang rehat la". Jawab Black, “Kalau atlet normal kita beri sambutan, tak kan anak buah aku nak buat sikit-sikit saja.” Ketika ketibaan atlet Para, Blacklah yang ada dalam pesawat dulu.

Dalam kalangan atlet Para, sampai nak beli apa sekalipun, Black la tempat dicari. Masih dalam ingatan ketika buat penulis buat "video call" dengan Ridzuan Puzi, nama pertama dipanggil Dikwan, "Abang Black". Itulah istimewanya hubungan Black dengan atlet Para.

Tapi kini Black sudah tiada. Tanggal 26 Januari 2017, jam 6.15 petang, Black pergi menghadap Ilahi di depan penulis di saat penulis membacakan surah Yassin. Hampir seminggu penulis bersama rakan-rakan lain berkumpul di hospital memberikan sokongan selepas dia diserang demam denggi.

Penulis belajar erti persahabatan sebenar. Di kala Black kekurangan darah, penulis buat satu rakaman video, keesokan harinya awal pagi Pusat Darah SJMC penuh dengan kehadiran atlet-atlet, pegawai sukan dan juga rakan-rakan seluruh negara hadir memberikan bantuan. Ya Allah, betapa baiknya Black di mata semua.

Pentas sukan negara kehilangan sebutir permata yang cukup besar sumbangannya kepada pengurusan sukan dan juga atlet.

Black, kita berpisah akhirnya. Moga kau tenang di sana. Amin

Terima kasih Black, terima kasih dari kami semua.

Doa akan terus kami titipkan moga kau tenang disana.

Amin…
 

Advertisement

Must Watch Video