Skip to main content

Rencana

Tabik spring kepada Die Mannschaft

draxler-030717.jpg
Juara Piala Konfederasi 2017, Jerman, memang cukup mantap. 

Biarpun hanya membawa tiga pemain utama, iaitu Julian Draxler, Jonas Hector dan Joshua Kimmich, skuad ini selebihnya hanya dibarisi senarai pemain muda dan belia, namun mereka masih mampu menidakkan cabaran pasukan ternama lain dalam saingan yang berlangsung di Russia.

Pengendali Jerman, Joachim Loew, pastinya lega melihat aksi konsisten yang dipamer anak-anak buahnya biarpun tanpa kelibat bintang-bintang besar seperti Manuel Neuer, Jerome Boateng, Toni Kroos, Thomas Mueller mahupun Mesut Ozil.

Bukan sekadar juara kejohanan, pemain dalam skuad Jerman turut memenangi anugerah Pemain Terbaik (Julian Draxler) dan Anugerah Penjaring Terbanyak (Timo Werner) dengan tiga gol.

Secara tidak langsung, situasi ini akan menghadirkan persaingan sihat di antara pemain lama dan baru dalam skuad Jerman menjelang persiapan mempertahankan Piala Dunia 2018 nanti.

Dayang yang mengikuti rapat perkembangan skuad Die Mannschaft turut kagum dan teruja melihat aksi pemain muda Jerman yang tenang beraksi biarpun berdepan pasukan hebat seperti Chile dan Mexico. 

Pasukan muda ini turut berjaya menutup mulut setiap pengkritik yang memperkecilkan skuad Loew dalam kejohanan Piala Konfederasi kerana membariskan ramai pemain belia.

Kejuaraan yang diperolehi oleh skuad muda Jerman ini adalah bukti dan kesinambungan betapa bagus dan berkesannya program bola sepak akar umbi mereka sehinggakan mereka tidak ketandusan bakat-bakat muda.

Ianya wajar dicontohi terutama sekali buat industri bola sepak di Malaysia memandangkan kita kini dalam usaha untuk memartabatkan kembali maruah yang telah tercalar. 

Dayang harapkan mereka-mereka yang terlibat dalam bola sepak di tanah air mampu mendapat sedikit input positif berdasarkan situasi skuad Jerman kini.

 

Advertisement

Must Watch Video