Skip to main content

Rencana

Syahir, Sobey didakwa ego, mahu melawan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

tokmat-cover-(1).jpg
Sifat ego, angkuh dan sikap ingin melawan didedahkan sebagai punca Syahir Rosdi dan Zulkifli Abdul Razak digugurkan daripada skuad sepak takraw kebangsaan atas pertimbangan melanggar disiplin seperti diputuskan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), 26 Jun lalu.
 
Kedua-dua tekong emas itu – yang digelar Panjang dan Sobey – bukan sekadar ponteng latihan selepas Aidilfitri lalu, malah turut menunjukkan sikap keras kepala mereka dengan memulaukan latihan selama seminggu selepas itu setelah dikenakan denda.
 
Diberikan ‘talian hayat’ untuk menyelamatkan karier masing-masing, kedua-duanya dikatakan berdolak-dalik, dengan mulanya bersetuju untuk membuat surat permohonan maaf tapi kemudian mengubah pendirian untuk ‘berpatah arang’ dengan badan induk yang memayungi mereka itu.
 
“Saya terkejut dengan sifat ego dan keangkuhan mereka berdua. Saya berasa hairan kenapa mereka berdua begitu degil sekali dan menunjukkan sikap ingin melawan,” dedah Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, eksklusif kepada stadiumastro.

“(Sedangkan) sekiranya mereka telah memberi surat permohonan maaf sepertimana janji mereka ketika berjumpa dengan Talib (ketua jurulatih, Abdul Talib Ahmad), pada pagi (26 Jun lalu), saya yakin keadaan tidak akan sampai ke peringkat ini.”



Terdahulu, Panjang dan Sobey bersama lapan pemain lain didenda gara-gara tidak menghadiri latihan selepas Aidilfitri lalu dalam keputusan yang dimaklumkan kepada semua pemain dalam satu perjumpaan di antara presiden dan pengurusan PSM bersama-sama jurulatih-jurulatih pada 19 Jun lalu.

Keputusan Exco PSM itu, yang menjatuhkan hukuman denda tersebut dalam mesyuarat khasnya pada 8 Jun, adalah sebagai memberi pengajaran dan untuk mendidik pemain agar mematuhi disiplin sepanjang bersama skuad kebangsaan.
 
Daripada 10 pemain yang didenda, lapan pemain telah menerimanya dengan rela hati dan kembali menjalani latihan dengan komitmen yang lebih tinggi lagi. 



Cerita Tok Mat lagi: “Hanya Panjang dan Sobey yang telah memberontak dan mengambil langkah drastik dengan memboikot latihan dari 20 hingga 26 Jun.

“Namun, kedua-dua mereka telah meminta untuk berjumpa dengan Talib pada pagi 26 Jun kerana mengetahui bahawa pada malam tersebut, Majlis Tertinggi PSM akan bersidang bagi membincangkan isu disiplin mereka.

“Selepas perjumpaan tersebut, Talib dan Shidi (jurulatih, Mohd Rashidi Nordin) bersama-sama dengan pengurus kewangan, Aizad (Ahmad Aizad Kamarulzaman) telah berjumpa dengan saya pada jam 4 petang dan menerangkan hasil daripada perjumpaan Talib dengan Shahir dan Sobey pada pagi tersebut.

“Talib memaklumkan bahawa mereka telah sedar dan memohon maaf. 

“Malah, di atas ketidakhadiran mereka dalam latihan dari 20 hingga 26 Jun (ketika tindakan boikot), mereka bersedia pula menerima hukuman denda tambahan sekalipun mereka terpaksa diturunkan ke Skuad B untuk sebulan lagi, iaitu bagi bulan Julai pula.

“Saya telah menerangkan kepada Talib dan Shidi bahawa agak sukar bagi saya untuk menarik balik Agenda Disiplin mereka dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi yang telah dijadualkan pada malam yang sama memandangkan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi dari seluruh negara yang akan hadir. 

“Namun, sekiranya mereka benar-benar insaf, saya masih bersedia membantu mereka lagi. Bagi membolehkan saya menolong mereka, maka saya telah mencadangkan kepada Talib dan Shidi untuk mendapatkan surat permohonan maaf daripada mereka berdua secara berasingan. 

“Saya juga ada menegaskan bahawa isi kandungan surat mereka antara lainnya hendaklah mengaku kesalahan dan kesilapan; memohon maaf; berjanji tidak akan mengulangi kesalahan lagi; berjanji akan memberi komitmen tinggi semasa latihan; dan berjanji akan membantu skuad kebangsaan bagi berusaha mencapai sasaran yang telah ditetapkan dalam Sukan SEA Filipina 2019,” katanya.

Bagi membantu dan mempermudahkan Panjang dan Sobey menyediakan surat berkenaan – kerana kesuntukan masa sebelum Mesyuarat Majlis Tertinggi PSM pada malam yang sama -- Aizad dan Rashidi diminta untuk membantu.



Sambung Tok Mat: “Shidi telah berjumpa dan berbincang dengan mereka. Setelah mereka berdua membaca (draf) surat tersebut serta melanjutkan perbincangan dengan Shidi selama lebih kurang setengah jam, saya telah difahamkan pada awalnya mereka berdua telah bersedia untuk menandatangani surat itu.

“Namun, tiba-tiba Syahir telah meminta izin daripada Shidi untuk tangguh sebentar di mana mereka berdua telah masuk ke bilik lain yang mana besar kemungkinan Syahir telah menelefon ‘penasihat’ mereka.

“Dalam masa lebih kurang 10 minit, mereka berdua telah kembali ke bilik di mana Shidi sedang menunggu. Syahir dan Sobey telah memaklumkan kepada beliau bahawa mereka berdua enggan menandatangani surat tersebut.

“Saya difahamkan juga bahawa Shidi terperanjat dengan keputusan mereka berdua, namun beliau telah berkali-kali memujuk mereka dan menasihati agar menandatangani dulu surat tersebut dan pada esoknya boleh berjumpa dan berbincang dengan saya.

 “Tujuan Shidi berkali-kali menasihati mereka berdua adalah lantaran beliau mahu membantu mereka berdua dengan harapan agar Mesyuarat Majlis Tertinggi PSM pada malam tersebut tidak akan mengambil sebarang tindakan keras terhadap mereka berdua.”

“Shidi terus memujuk mereka berdua sehinggalah azan Maghrib. Ketika itu, Shidi meminta mereka berdua terus berfikir sementara beliau ke surau bagi menunaikan solat Maghrib dan sempat berpesan kepada mereka untuk menandatangani surat tersebut dulu dan masih boleh berbincang dengan saya kemudian.

 “Sekembalinya Shidi dari surau, beliau terperanjat besar dengan ego mereka berdua yang telah memberi jawapan, ‘Kami pun dah sembahyang Maghrib dan kami dah buat keputusan untuk tidak sign (tandatangan) surat permohonan maaf itu”.

“Shidi kemudian menelefon saya memaklumkan hal tersebut.

“Saya terkejut dengan sifat ego dan keangkuhan mereka berdua. Saya berasa hairan kenapa mereka berdua begitu degil sekali dan menunjukkan sikap ingin melawan sedangkan sekiranya mereka memberi surat permohonan maaf sepertimana janji mereka ketika berjumpa dengan Talib pada waktu paginya, saya yakin keadaan tidak akan sampai ke peringkat ini.

“Sekiranya mereka tidak mahu menandatangani surat yang telah dibuat oleh Aizad dan Shidi sekalipun, mereka sepatutnya boleh menulis surat permohonan maaf dalam bahasa dan cara mereka sendiri. Ini tidak.”

“Memandangkan tidak ada surat permohonan maaf daripada mereka, maka masalah disiplin mereka berdua telah dibincang secara terperinci dan mendalam dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PSM pada malam itu dan keputusan-keputusan yang telah diambil adalah sepertimana yang telah semua orang sedia maklumi.”

“PSM telah mengeluarkan surat pemberitahuan keputusan-keputusan Majlis Tertinggi PSM kepada mereka berdua pada 27 Jun 2019. 

“Di dalam surat tersebut, mereka berdua telah dinasihatkan agar tidak memuat naik surat itu dan diperingatkan kepada mereka berdua tentang klausa-klausa yang akan mereka langgari di dalam ‘Perjanjian Atlet’ yang telah mereka tandatangani dan juga Perlembagaan PSM sekiranya mereka berbuat demikian. 

“Namun, Syahir telah dengan angkuhnya memuat naik surat tersebut (di akaun Facebooknya).”

“Keadaan menjadi panas dan terdapat pelbagai reaksi. Ada yang menghentam PSM dan tidak kurang pula yang menghentam mereka. Mereka mula berasa malu dan mereka telah memutarbelitkan kenyataan-kenyataan mereka dengan cuba menyalahkan PSM pula.”

“Pada peringkat awalnya, mereka menyanyikan bahawa kononnya kerana tiga hari mereka tak hadir latihan dan kononnya lagi kerana mereka tidak hadir 'Majlis Hari Raya' di rumah saya, maka mereka telah digugurkan. 

“Tuduhan ini adalah tidak benar sama sekali. Malah, Syahir hadir dalam 'Majlis Hari Raya' yang diadakan khas kepada skuad sepak takraw kebangsaan di rumah saya itu.

“Bilamana isu tu tak ‘makan’, maka kebelakangan ini, nampaknya (mungkin dinasihati oleh penasihat mereka), mereka cuba berselindung dan cuba menutupi isu disiplin mereka dengan mengalih pandangan orang ramai, termasuk YB Menteri, yang kononnya mereka yang menarik diri dan berundur lantaran mereka tidak berpuas hati dengan ‘Skim Pembayaran Elaun PSM’. 

“Mereka terus menyanyikan lagu yang baru ini pula kebelakangan ini. Mereka berasakan bahawa isu ini nampaknya boleh ‘makan’ dan kononnya pada anggapan mereka, dengan isu baru ini mereka telah berjaya menutupi isu disiplin sebenarnya.

“Maka mereka terus mendendangkan lagu “Skim Pembayaran Elaun’ sehingga YB Menteri pun telah turut mendendangkan lagu yang sama kebelakangan ini dengan terpikat pada lagu dendangan mereka.”

“Sayugia ditegaskan di sini bahawa mereka bukanlah menarik diri lantaran kononnya tidak puas hati dengan ‘Skim Pembayaran Elaun’, akan tetapi mereka telah digugurkan daripada skuad sepak takraw kebangsaan atas masalah disiplin.”

Seiring dengan keputusan itu, Panjang dan Sobey turut digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan sukan itu sementara menanti pertuduhan rasmi daripada Jawatankuasa Tatatertib PSM dalam masa terdekat ini.

(HABIS)

Advertisement

Must Watch Video