Skip to main content

Rencana

Sumpahan separuh akhir

hoki-malaysia.jpg
Trofi Juara-Juara Asia merupakan kejohanan yang mendapat tempat istimewa di hati saya.

Cabaran cukup mencabar dalam edisi pertama di Ordos, China, pada 2011 apabila penganjur tidak membuat banyak persiapan mengenai keperluan media. Venue kejohanan berada dalam wilayah Inner Mongolia dan dikenali sebagai bandar hantu.

Tidak banyak kemudahan disediakan, saya dan jurukamera selalu terlepas bas terakhir ke hotel. Kami terpaksa berjalan kaki dalam cuaca sejuk mencari teksi setiap hari.

Keadaan bertambah sukar apabila penonton tidak ramai ke stadium, selalunya begitulah suasana kejohanan edisi pertama.

Cuma, saya akan sentiasa mengenangkan detik bersama Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, yang sanggup memberi sokongan terhadap skuad kendalian Tai Beng Hai ketika itu dalam cuaca sejuk. 

Malah, Almarhum sanggup mengadakan perbincangan dengan krew penerbitan di Ordos agar peminat dapat menyaksikan saingan di Malaysia.

Sayangnya, Malaysia tewas dalam separuh akhir sebelum menaiki podium ketiga selepas menumbangkan Jepun dalam penentuan gangsa. India mencipta sejarah muncul juara edisi pertama.

Persekutuan Hoki Asia (AHF) merancang menganjurkan kejohanan ini setiap tahun. Maka pada 2012 dan 2013, Malaysia kekal mencabar tetapi kekal di tangga ketiga.

Tetapi saban tahun, saya melihat peminat makin menerima kejohanan ini. Edisi ketiga di Kakamigahara, Jepun, contohnya, peminat memenuhi stadium yang terletak di atas bukit di Osaka -- satu petanda positif untuk Trofi Juara-Juara Asia.

Trofi Juara-Juara Asia kemudian tertangguh selama tiga tahun sebelum muncul di Kuantan, Pahang 2016. Malaysia ketika itu di bawah kendalian Stephen van Huizen cukup kuat tetapi masih lagi gagal menamatkan badi separuh akhir.

Kali ini, Malaysia kendalian Roelant Oltmans berangkat ke Muscat, Oman, dengan misi ke final. The Malaysian Hockey Tigers mahu memburu seberapa banyak mata ranking dunia untuk berada dalam kelompok 10 negara terbaik.

Malaysia sudah membuktikan dalam Sukan Asia Indonesia, India dan Pakistan yang masing-masing sudah dua kali muncul juara kejohanan ini mampu ditumbangkan.

Lupakan kesedihan Sukan Asia (pingat perak) kerana cabaran sudah ada di depan mata. Tamatkan sumpahan badi separuh akhir. 

Advertisement

Must Watch Video