Skip to main content

Rencana

Sukarnya menjadi Yusri Che Lah

21218yusrichelah.jpg
Menjadi individu utama yang diharapkan mampu mengubah perjalanan berliku bekas gergasi Pantai Timur, Kelantan, membuatkan Yusri perlu memikirkan pelbagai kemungkinan nasib yang bakal dihadapi mereka selepas ini.

Daripada miliki keyakinan mampu ubah laluan Kelantan dari terus terjerumus di zon penyingkiran Liga Super, sampai satu tahap Yusri terpaksa akur kekuatan yang dimiliki Kelantan belum cukup ampuh bersaing dalam Liga Super.

"Saya sedar hasrat yang sering diluahkan penyokong Kelantan tapi kekuatan yang saya ada belum sampai lagi ke tahap yang sepatutnya." Itu reaksi Yusri sebaik ditanya bagaimana nasib Kelantan selepas ini.

Itu bukan bermaksud Yusri sudah berpatah arang dengan kemampuan skuad Cik Siti Wan Kembang tetapi ia lebih bersifat ‘mengukur baju di badan sendiri.’

Kelantan masih miliki peluang tipis untuk keluar dari zon penyingkiran dengan syarat dua aksi di laman sendiri menerusi pertemuan dengan Selangor dan Melaka United perlu berakhir dengan kemenangan selain curi satu kemenangan di tempat lawan membabitkan aksi dengan Johor Darul Takzim (JDT), Terengganu dan Pahang.

Yusri tidak mahu beri komen yang panjang mengenai bekas jurulatih terdahulu iaitu Fajer Ibrahim, namun mengharapkan bantuan di masa akan datang membabitkan pemain senior terdahulu yang masih bergelar pemain Kelantan seperti bekas Kapten Badri Radzi, Nor Farhan Muhammad dan Zulfahmi Awang yang dipinjamkan kepada D’AR Wanderers FC.

"Saya belum adakan sebarang perbincangan rasmi dengan mereka namun hal itu akan berlaku apabila sampai waktunya," tegas Yusri.

Ditanya mengapa Yusri kekal mengenepikan pemain senior yang ada ketika ini, bekas pemain kebangsaan itu ada jawapan yang bernas.

"Saya tidak mahu ada lagi pihak yang dipersalahkan selepas ini. Dengan apa yang dimulakan oleh pemain yang ada, mereka lah yang akan mengakhiri perjuangan Kelantan musim ini. Samada berjaya atau sebaliknya, ia tanggungjawab bersama."

Advertisement

Must Watch Video