Skip to main content

Rencana

Sukan SEA 2017: Sasaran pingat emas dianggap tekanan

sukan-sea.jpg
Salam sejahtera.

Beberapa hari yang lalu, Nadi Arena menyiarkan berita mengenai sasaran awal pungutan pingat emas kontinjen negara dalam Sukan SEA 2017, iaitu 109 pingat emas yang bakal merealisasikan impian untuk muncul juara keseluruhan.

Ia bakal menobatkan Malaysia selaku jaguh sukan rantau ini serta mencapai objektif program 'Kita Juara'.

Malangnya, pendedahan sasaran itu nyata 'kurang disenangi' segelintir pihak yang menganggap pendedahannya akan membuatkan pesaing utama negara kita seperti Thailand serta Vietnam mengandaikan Malaysia akan melakukan apa saja untuk memastikan kemenangan juara dan mungkin akan 'memboikot' temasya dwi-tahunan itu Ogos ini.

Bagi saya, kita tidak perlu berasa cuak dengan pendedahan sasaran pingat emas ini serta juga tidak perlu risau akan mendapat tempias daripada negara peserta yang lain.

Saya pasti walaupun pegawai sukan negara sudah menyatakan sukan yang bakal menjadi sasaran utama lubuk emas, kontinjen negara kita akan kekal bermain adil dan saksama dan tidak akan tergamak merencana sesuatu yang di luar norma-norma semangat kesukanan sukan semata-mata mengejar gelaran juara.

Bagi saya, gergasi sukan seperti Thailand, Vietnam serta Indonesia sudah merencana strategi masing-masing dan sudah mencongak sukan-sukan yang bakal menjadi lubuk emas mereka.

Mereka pasti juga sudah mengintai kekuatan tuan rumah. Masing-masing sedang merumuskan kekuatan serta sasaran. Justeru, kita harus tumpukan kepada sasaran yang sudah ditetapkan.

Saya pasti semua pihak yang terbabit dengan Sukan SEA 2017 ini akan berasa tertekan. Sejak Malaysia mengetahui bakal menjadi tuan rumah temasya 2017, semua pihak sudah berasa tekanannya.

Apatah lagi atlet yang bakal berjuang nanti. Malah, dengan pelancaran program Kita Juara, bayangkan tekanan yang dihadapi atlet, jurulatih, pegawai serta pembuat dasar untuk memastikan matlamat itu tercapai.

Lagi hampir kepada temasya itu, maka lagi hebatlah tekanan yang dirasai apabila ketika temasya berlangsung, tekanan itu akan berlipat kali ganda. Tapi, saya pasti atlet serta pegawai-pegawai sukan sudah biasa merasai tekanan.

Malaysia bakal menampilkan atlet terbaiknya di temasya ini dan saya pasti mereka sudah cukup berpengalaman untuk berdepan tekanan selaku atlet tuan rumah. Begitu juga dengan atlet muda yang kali pertama mengambil bahagian. Saya pasti semangat mereka tentu berkobar-kobar untuk turun beraksi di laman sendiri.

Justeru, semua pihak tidaklah perlu berasa 'tertekan' dan jangan kerap gunakan perkataan 'tekanan' ini untuk berselindung daripada memberikan maklumat yang tepat.

Kita perlu fokus kepada program yang sudah diatur dan salurkan maklumat yang tepat kepada media. Semua pihak mahu memastikan Malaysia muncul juara pada 31 Ogos nanti! 

Saya sudah merasainya pada 2001 ketika Malaysia menjadi tuan rumah. Dan saya berharap selepas penantian 16 tahun, saya akan sekali lagi berada di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam upacara penutup temasya itu meraikan kemenangan besar Malaysia!

Advertisement

Must Watch Video