Skip to main content

Rencana

Sorry bro, hari ini kami menang lagi

pawi-lagi.jpg
"Punyalah susah-susah sampai sini HALAMAK!
"Boleh plak dia main benci-benci HALAMAK!
"Cakaplah apa kau nak 'ku tak henti HALAMAK!
"Sorry bhai hari ni 'ku menang lagi.”


Itu adalah petikan lirik lagu sebuah kumpulan sedang meningkat naik, iaitu K-Clique, yang tampak sesuai dengan situasi perlawanan di antara Malaysia dan Indonesia dalam aksi Kumpulan G, pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 semalam. 

Jika sebelum ini Indonesia menyatakan hasrat untuk tampil dengan kejutan ketika bertandang ke Stadium Nasional, Bukit Jalil, namun sebaliknya berlaku apabila mereka dikejutkan dengan sepakan lencong pemain nombor 11, Safawi Rasid, sekali gus menyaksikan Sang Garuda mencatatkan kekalahan kelima. 

Saya percaya ini adalah detik paling manis yang ditunggu-tunggu pemain berusia 22 tahun, Safawi, untuk muncul sebagai watak utama pasukan kebangsaan, tambahan dengan kritikan peminat bola sepak tempatan terhadapnya apabila kurang menyerlah di peringkat antarabangsa berbanding prestasinya dalam saingan Liga Malaysia sehingga diangkat sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) dua tahun berturut-turut dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 dan 2019. 

Terdahulu, skuad Harimau Malaya mencatatkan kemenangan 3-2 dalam aksi pertama menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno yang menyaksikan ketua jurulatih mereka ketika itu, Simon McMenemy, dipecat ekoran kekalahan keempat kepada Vietnam, 15 Oktober lalu. 

Apa yang lebih menggembirakan, kemenangan ketiga yang diraih skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu berjaya meletakkan Malaysia di kedudukan kedua Kumpulan G dengan sembilan mata. 

Safawi menepati ramalan muncul sebagai hero Malaya selepas memanfaatkan kelebihan dimiliki sehingga berjaya meledak dua jaringan menerusi rembatan kaki kirinya pada minit ke 29 dan 72. 

Bagaimanapun, di sebalik setiap kejayaan, pasti ada tulang belakang yang memberi sokongan kepada mereka, iaitu pemain ke-12 negara, penyokong Harimau Malaya. 

Bawah batang ada keli,
Batang rebah menumpu tanah,
Cadangan dibentang jelas sekali,
Terima kasih, syabas dan tahniah. 

Advertisement

Must Watch Video