Skip to main content

Rencana

Skuad emas Ajax kembali

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ajax-040517.jpg
Ajax bukanlah sebuah kelab yang asing dalam hasil pembangunan pemain-pemain muda yang hebat.

Nama-nama besar seperti Dennis Bergkamp, Patrick Kluivert, Johan Cruyff dan Marc Overmars adalah antara contoh terbaik membuktikan akademi Ajax sentiasa mampu melahirkan pemain-pemain hebat.

Kejuaraan Eropah pada tahun 1995 membuktikan kemampuan Ajax. Semangat pemain-pemain muda mereka terbukti mampu menewaskan AC Milan 1-0 dalam final biarpun Milan ketika itu diterajui oleh dua pertahanan hebat, Paolo Maldini dan Franco Baresi. Gol tunggal dijaringkan oleh Patrick Kluivert, yang baru berusia 18 tahun pada masa itu.

Kini, 22 tahun telah berlalu. Ajax yang dikendalikan oleh Peter Bosz bakal tampil ke final pertama di peringkat Eropah selepas detik bersejarah itu.

Kali ini, lawan yang menunggu juga bukan sebuah pasukan yang mudah ditewaskan, Manchester United.

Lebih menarik, purata umur skuad Ajax pada tahun ini adalah 21 tahun. Penyerang utama dari Denmark, Kasper Dolberg, baru berusia 19 tahun, namun berjaya menghasilkan 16 gol dan enam bantuan jaringan.

Penyudah hebat Dolberg di depan gawang lawan pada musim ini dibantu oleh tiga pemain muda, iaitu Bertrand Traore (21 tahun), David Neres (20) dan Justin Kluivert (18).

Di bahagian tengah, pemain yang menjadi nadi utama Ajax adalah Davy Klassen dan Hakim Ziyech. Kedua-duanya baru berusia 24 tahun tetapi sudah menghasilkan 23 gol dan 21 bantuan jaringan dalam semua kejohanan.

Benteng pertahanan Ajax pada tahun ini paling mencuri tumpuan. Dalam saingan Liga Eredivise, Ajax hanya bolos 23 gol, berkongsi jumlah paling sedikit bersama-sama PSV Eindhoven.

Jairo Riedewald, Kenny Tete dan Davinson Sanchez semuanya masih belum melebihi usia 21 tahun.

Paling menarik, dalam perlawanan menentang Lyon di peringkat separuh akhir Liga Europa, Ajax mempertaruhkan tiga pemain ini dan meletakkan Matthijs de Ligt yang baru berusia 17 tahun selaku jeneral di pertahanan tengah di hadapan penjaga gol dari Cameroon, Andre Onana (21 tahun).



Segala-galanya tampak cerah buat Ajax. Tidak kira menang atau tewas dalam final Liga Europa pada 24 Mei nanti, masa depan Ajax pasti terjamin jika kelompok pemain ini dikekalkan di masa akan datang.

Kelab-kelab mewah seperti Real Madrid, Paris Saint Germain (PSG) dan Manchester United sudah tentu mula memasang niat untuk memiliki pemain-pemain muda ini.


 

Advertisement

Must Watch Video